Perlukah Singapura Terus Berpura-Pura?

Peribahasa melayu berkata 'air dicincang tidak akan putus'. Barangkali di Singapura tidak ramai orang melayu, maka tidak ramai yang tahu peribahasa itu. Sebaliknya isu air akan dijadikan satu isu besar oleh republik itu untuk memutuskan hubungan dengan Malaysia.

Telah berkali-kali Singapura cuba mencari helah untuk bermusuhan dengan Malaysia. Sebaliknya Malaysia cuba memperbaiki hubungan kerana berasa tidak manis dan tidak sepatutnya berlaku, bermusuhan dengan jiran terdekat. Begitulah semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Malaysia. Tetapi nampaknya tidak mendapat sambutan baik dari Singapura.

Untuk seketika ini isu Batu Putih didiamkan sementara oleh Singapura, sebaliknya memainkan semula isu air. Penerbitan buku bertajuk Rundingan Air: Rundingan Yang Sebenar, telah benar-benar membayangkan hasrat Singapura tidak berminat menjadikan Malaysia jiran terbaik. Sebaliknya, natijah daripada penerbitan buku dalam tiga bahasa itu sebagai dakyah untuk meracuni pemikiran semua rakyatnya membencikan Malaysia.

Buku itu menggambarkan seolah-olah Malaysia berniat menghentikan penyaluran air mentah di republik itu dan kononnya para pemimpin Malaysia sentiasa berdolak dalik berkaitan isu itu. Lebih menyedihkan apabila media-media asing memetik buku yang memburukan Malaysia itu untuk memberi gambaran kepada dunia bahawa Malaysia sebenarnya tidak baik. Tidak sepatutnya Singapura menipu rakyatnya dengan fakta-fakta yang tidak betul mengenai isu air dan Malaysia.

Singapura sebenarnya sudah lama mengaut untung besar daripada bekalan air mentah Malaysia. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menjelaskan bahawa Singapura mendapat keuntungan RM 662.5 juta daripada air tanpa proses yang disalurkan oleh Malaysia pada tahun 2001. Ini berdasarkan keuntungan penjualan air yang diperolehi oleh Public Utilities Board (PUB) negara itu.

Dengan keuntungan sebesar itu Singapura sepatutnya tidak perlu lagi bising-bising mengenai isu air, atau membohongi rakyatnya bahawa Malaysia jahat dan berniat menghentikan bekalan air kepada mereka. - Putera Malaysia

Diambil dari http://besonline.rtm.net.my/modules.php?op=modload&name=Top_List&file=index

Comments