Yang mana pilihan hati?


Video demo telefon bimbit penulis sekarang.

Setiap orang mahukan telefon yang terbaik dan terkini untuk diri masing-masing. Sama ada ianya satu keperluan atau hanya untuk mengikuti trend masa kini.

Ciri-ciri 3G, MMS, HSDPA, GPRS, kamera yang memiliki resolusi yang tinggi, rekabentuk yang menarik dan mempunyai keupayaan memori yang tinggi adalah diantara ciri-ciri yang menjadi pertimbangan untuk membeli sesebuah telefon bimbit. Sekiranya harga tidak menjadi masalah, pelbagai pilihan model terkini dapat dicari.

Namun, atas dasar apakah anda membeli telefon bimbit anda? Persoalan ini muncul ketika mengikuti teman sepejabat untuk membeli telefon bimbit barunya. Ketika teman tersebut membuat pilihan mengenai model terbaik yang perlu dimiliki, terlintas dibenak fikiran mengenai ciri-ciri keperluan mengenai telefon yang perlu dimiliki oleh seseorang itu.

Melalui pengalaman, untuk membeli telefon bimbit, beberapa perimbangan perlu diambil kira. Harga dan cara penggunaan. Mengapa hanya dua ciri-ciri tersebut yang menjadi kriteria utama? Pertamanya, harga menentukan sejumlah model yang boleh dipilih yang datang bersama dengan ciri-ciri teknologinya. Manakala cara penggunaan menentukan apakah ciri-ciri teknologi yang perlu ada pada telefon tersebut.

Harga adalah penentu utama bagi menentukan julat model telefon bimbit. Sekiranya jumlah wang yang diperuntukkan adalah sederhana, maka julat model yang akan dipilih menjadi sederhana. Manakala sekiranya wang bukan satu masalah, maka anda boleh memilih sejumlah model-model yang terkini dan tercanggih serta terbaik untuk diri anda.

Seterusnya adalah mengenai cara penggunaan seharian anda. Sekiranya anda bukanlah seorang yang 'tech-savvy', maka adalah tidak perlu untuk mendapatkan semua ciri-ciri teknologi telefon bimbit yang terkini. Cukuplah sekadar dapat menghubungi dan dihubungi serta dapat menghantar mesej ringkas. Sebaliknya pula sekiranya anda seorang yang amat menekankan penggunaan teknologi terkini dan menggunakannya semaksimum mungkin seperti melayari laman web, mms, foto blogging, panggilan video dan sebagainya.

Gabungan kedua-dua ciri iaitu harga dan cara penggunaan membolehkan anda memilih yang terbaik, dan seterusnya memaksimumkan penggunaan telefon bimbit anda. Lakukan perbandingan harga dan ciri-ciri teknologi yang akan digunakan, dan seterusnya dapatkan harga yang berpatutan dengan teknologi yang ditawarkan.

Ini telah dibuktikan melalui pengalaman saya ketika mencari model telefon yang digunakan oleh saya kini. Setelah melakukan pelbagai perbandingan harga serta cara penggunaan, akhirnya model terbaik telah dipilih. Kini genap setahun saya menggunakan model telefon tersebut, saya mengakui tidak tersilap memilih model tersebut.
Sehingga kini, saya telah memaksimumkan penggunaanya, dari photo blogging, ke melayari internet, menghantar mms, panggilan video, mengambil klip gambar dan video, dan pelbagai lagi. Sehinggakan saya merasa puas hati dengan model ini walaupun harganya tidak terlalu mahal berbanding ciri-ciri yang ditawarkan, serta melalui penggunaan seharian.

Janganlah anda berbelanja membeli telefon yang canggih tetapi tidak memaksimumkan penggunaan teknologi yang ada. Ianya seolah-olah telefon yang dibeli itu menjadi sekadar aksesori kepada anda. Cantik dipandang tetapi hanya untuk dipamerkan, bukannya digunakan dengan sepenuhnya. Oleh itu, pilihlah model yang terbaik untuk diri anda dengan harga yang mampu dibeli dan seterusnya anda berpuas hati dan tidak terlalu mengikut perasaan ketika membeli telefon bimbit impian anda.

Anda pula bagaimana? Apakah ciri dan kriteria utama ketika memilih telefon bimbit anda?

- ijamlaa

Comments

Paksu said…
Man! Ko boleh translate ni dan masukkan dalam korang punye buletin.