Friday, December 19, 2003

Pegawai Tidak Bayar Hutang Mara

KUCHING: Ramai pegawai tinggi sektor awam dan swasta dikesan tidak membayar balik pinjaman pelajaran, termasuk yang diperoleh 30 tahun lalu walaupun mereka berkemampuan berbuat demikian. Ketua Pengarah Mara, Datuk Zamani Mohd. Nor berkata, mereka adalah sebahagian daripada penerima pinjaman pada tahun 70-an dan 80-an yang sengaja enggan menjelaskan pinjaman. "Kebanyakan mereka sekarang memegang jawatan baik dalam kerajaan mahupun swasta, tetapi saya hairan mengapa susah sangat nak bayar balik hutang. Sepatutnya ketika ini Mara menumpukan perhatian menuntut hutang daripada peminjam baru, tetapi masih ada saki-baki siswazah tahun 1970-an dan 1980-an yang belum tampil membayar pinjaman," katanya. Mara memberi amaran kepada mereka yang belum membayar balik pinjaman agar tampil segera menyelesaikannya jika tidak mahu menghadapi tindakan undang-undang. (Massa, Bil:423, 13-19 Disember 2003, ms:5)

aku: Aku siap potong gaji lagi walaupun gaji tak seberapa...

Saturday, November 22, 2003

GOOD ARTICLE
posted by anonymous


Assalamualaikum w.b.t... sekadar berkongsi pengalaman seorang sahabat...


utk para suami, baca dan renungkan....


utk para isteri ambil iktibar ......


bagi wanita yang akan menjadi isteri..renung - renungkan lah...


"Assalammualaikum dan salam sejahtera,


Setiap kali menjelang ramadhan tergiang-giang suara ibu yang rasanya baru
saja saya dengar walaupun telah berlaku berbelas tahun. Diantara tazkirah
ibu yang amat saya ingat ialah ketika bulan puasa selepas bersahor
sementara menunggu waktu solat subuh ibu akan memanggil kami semua (3 orang
anak perempuannya - ibu mempunyai 4 orang anak perempuan seorang dah
berumahtangga dan dua orang anak lelaki) dan akan bercerita tentang
kebesaran Allah dan hukum hakam dalam islam dengan menggunakan bahasa yang
amat mudah difahami walaupun ketika itu saya masih lagi bersekolah menengah
rendah dan ayah pula meninggal dunia ketika usia saya tiga bulan.


Ibu : Apa yang nak ibu cakap nie....dengar baik-baik lebih-lebih lagi pada
Ateh (anak no. 3) dan Acik (anak no.5). Ateh akan mendirikan rumahtangga
tak lama lagi. Apabila hampir penghujung puasa dah tentu kamu suami isteri
akan berbantah-bantahan untuk pulang ke kampung siapa pada hari raya
pertama. Betul tak??????


Ateh & Acik : Betul....mestilah ghumah ibu dulu.........


Ibu : Dengar dulu....contohnya jika rumah kamu di Tanjong Malim, rumah ibu
di Cheras dan rumah mentua kamu di Johor, rumah siapakah yang akan kamu
tuju dulu?


Ateh & Acik : Ghumah ibulah.....sebab dekat


Ibu : Tidak.......ibu tidak izinkan kamu balik ke sini.........baliklah ke
rumah mentua kamu dan jika mentua dan suami kamu izinkan barulah balik ke
rumah ibu........ibu tak kisah hari raya yang keberapa sekalipun.


Ateh : Mengangguk.......(tanda faham ler tue...... dia nie banyak ikut
perwatakan ibu....penyabar, bertolak ansur dan mahir dalam menjahit, sulam
menyulam, memasak dan juga pandai mengurut....diantara kami adik-beradik
dialah yang paling dalam pengetahuannya dalam islam seperti ibu juga).


Acik : Mana boleh macam tu tak aci lahhhhhh......kena gilir-gilirlah baru
adil. (dia nie memang kaki bangkang pun.....outspoken skit kalau dia tak
puas ati)


Ibu : Ingatlah......jika anak-anak perempuan ibu sayangkan ibu dan inginkan
kebahagian ibu di akhirat nanti...taatlah pada suami dan mentua
kamu........





Acik : Macam kaum h**** lak. Dah kawin tak boleh gi rumah emakbapak.


Ibu : Bukan macam tu......islam tu indah.......setiap anak-anak perempaun
yang taat pada suami di samping mentua mereka, ibubapanya akan mendapat
pahala di atas ketaatannya itu..... dan seperkara lagi.....untuk menjaga
suami tidak sesusah mananye... hanya dua perkara kalau kamu nak menundukkan
suami kamu mengikut islammmm......JAGALAH NAFSUNYA DAN JAGALAH PERUTNYA.
InsyaAllah dia tak akan kemana.....kalau dia melilau pun dia akan kembali
kepada kamu juga. Pahala kamu ada di dalam rumah kamu tak payah bersusah
payah macam kaum lelaki di luar rumah mencari pahala.


Ditakdirkan Allah Ateh bernikah dengan abang ipar yang yatim
piatu......jadi setiap tahun beraya bersama ibu manakala Acik pulak masih
mempunyai ibubapa mentua . Hampir setiap tahun pada hari raya puasa Acik
sekeluarga akan beraya di rumah mentua di Melaka cuma pada hari keempat
atau selebihnya di rumah ibu (rumah Acik di Kedah).


Dengan takdir Allah ketika saya berada di tingkatan 6 rendah, dua hari
sebelum hari raya puasa Acik sekeluarga tiba di rumah ibu. Ibu terkejut
tapi saya rasa.........terkejut campur gembira agaknya ibu pada masa itu.
Selepas pulang dari solat terawih ibu duduk berbual dengan abang ipar...


Ibu : Bila kamu nak bawa isteri kamu pulang ke Melaka?


Abang ipar : Kami akan beraya di sini dan raya ke dua nanti baru balik ke
Melaka (dia nie memang malu sakan dgn ibu).


Ibu : Adakah ini desakan dari isteri kamu?


Abang ipar : Tidak bu.......saya izinkan keluarga saya beraya di sini.


Ibu : Bagaimana ibubapa kamu adakah mereka setuju?


Abang ipar : Mereka tiada halangan. (dalam hati saya rasa
terkilan..........apalah ibu nie....biarkan jerlah Acik nak beraya di sini)





Ibu : Izinkan ibu bercakap dalam talipon dengan emak kamu. (abang ipar
bangun dan mendial no. talipon kampungnya dan menyerahkan ganggang talipon
pada ibu....lama gak ibu bergayut dengan besannya). Emak kamu tak ada
masalah kamu sekeluarga beraya bersama ibu di sini. (sambil menitis


airmata)


Terima kasih kerana membawa anak dan cucu- cucu ibu ke sini.


Apabila habis bulan syawal seperti biasa hanya saya dan ibu saja tinggal di
rumah. Sebagai anak yang bongsu dan paling rapat dengan ibu dan masih solo
ketika itu, ibu mencurahkan perasaan dan berbangga kerana dapat membimbing
anak-anak perempuan nya kearah islam tapi ibu amat kecewa dengan kedua-dua
anak-anak lelakinya yang seperti lembu dicucuk hidung menjadi pak turut
kepada isteri mereka. Bayangkanlah menantu perempuan ibu yang sulong tidak
pernah bermalam di rumah ibu apatah lagi lepas makan nak tolong basuh
pinggan ke atau menolong kerja-kerja rumah yang lain....(tak boleh cerita
panjang.........dah masuk bab mengumpat lak.......).


Semasa saya di tingkat 6 atas ibu kembali ke rahmatullah membawa seribu
kekecewaan di atas sikap anak-anak lelakinya. Alhamdulillah apabila saya
mendirikan rumahtangga......masalah pulang beraya tak mendatangkan masalah
pada suami kerana semua jenis cuti kami sekeluarga akan habiskan di rumah
mentua saya. Saya juga salah seorang menantu yang disenangi.


Saya selalu bertanya pada diri saya sendiri......sempurnakah sudah aku
sebagai seorang menantu? Sempurnakah aku sebagai seorang isteri yang
solehah?.........berjayakah aku menjadi ibu sepertimana ibu ku dulu????????
Ya Allah.....berilah aku petunjuk dan pimpinlah aku ke jalan yang engkau
redhai.....Aminnnnnn


Selamat menjalani ibadah puasa agar ibadah nie dapat menyihatkan iman dan
fizikal kita.


Wassalam


Ya Allah,mampukah aku mendapat keredhaanMU dan naunganMU di Padang Masyhar
kelak..."

Wednesday, November 19, 2003

Gertak minyak masak
Oleh AZMAN ISMAIL

(WARTAWAN UTUSAN)
ISU harga siling minyak masak sawit merupakan fenomena yang memerlukan penyelesaian cepat dan berkesan daripada kerajaan. Tugas berat ini pastinya terpikul di bahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tindakan segera itu sangat perlu untuk mengelakkan pengguna menjadi mangsa, sama ada kesan daripada kenaikan harga mahupun ketiadaan stok minyak masak berasaskan sawit di pasaran domestik, khususnya menjelang tiga perayaan besar di negara ini, iaitu Aidilfitri, Krismas dan Tahun Baru Cina.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak akan menaikkan harga siling minyak masak biarpun ada desakan daripada pelbagai persatuan pengilang dan pengedar komoditi tersebut hingga selepas sambutan Tahun Baru Cina, Februari depan.

Bagi memastikan pengeluar tidak menanggung kerugian akibat masalah tersebut, Kabinet telah mengarahkan Kementerian Perusahaan Utama melaksanakan sistem cukai SES secepat mungkin. SES pernah dilaksanakan pada 1997-1998 ketika harga minyak sawit meningkat mendadak ekoran kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

Di bawah sistem itu, kerajaan membuat kutipan SES bagi minyak sawit yang dieksport dan wang itu kemudian akan digunakan sebagai subsidi kepada pengusaha minyak makan tempatan.

Cadangan itu juga masih di peringkat kajian dan masih menunggu maklum balas daripada pelbagai pihak supaya tidak membebankan pengguna terutamanya dari golongan berpendapatan rendah.

Alasan lain yang turut dikemukakan oleh kementerian ialah pengilang serta pengedar masih meraih keuntungan namun tidak selaras dengan margin yang mereka harapkan.

Harga siling bagi minyak masak kelapa sawit adalah RM1.85 bagi 500 gram, RM2.50 (1 kilogram), RM6.25 (2 kilogram) dan RM42 (12 kilogram).

Namun, pengilang serta pengedar mahukan harga siling tersebut segera dinaikkan, ekoran peningkatan mendadak harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran antarabangsa yang dianggap memberi impak besar kepada perniagaan domestik mereka.

Tindakan awal pengedar membuat gertakan dikesan apabila ada pasar raya yang hanya mendapat bekalan separuh daripada yang diminta. Misalnya dakwaan pengurus besar sebuah pasar raya yang mendapat bekalan 200 botol minyak masak sahaja berbanding 400 botol yang dipesan. Malah harga kilang dinaikkan 40 sen hingga RM1 mengikut berat berbanding harga siling yang ditetapkan

Kenaikkan CPO yang mencecah RM1,900 setan metrik berbanding dengan harga siling bahan mentah itu yang ditetapkan oleh kerajaan pada RM1,450 setan metrik, didakwa merugikan pengilang dan pengedar.

Peningkatan harga tersebut sejak sebulan lalu mempunyai hubungan erat dengan kekurangan bekalan kacang soya yang merupakan pesaing utama minyak sawit di pasaran antarabangsa kerana masalah cuaca yang tidak menentu di Amerika Syarikat (AS).

Keadaan ini membolehkan minyak sawit mengambil peluang daripada prestasi tersebut. Impak utama ialah kenaikan harga minyak sawit dunia dan ia dijangka berlangsung dalam tempoh yang lama kerana sebahagian tanah untuk pengeluaran soya juga digunakan untuk pengeluaran bijirin lain seperti gandum dan jagung.

Bagaimanapun pendapat penganalisis industri mengenai kenaikan semasa harga-harga minyak sawit dipertikaikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Mentah Malaysia, Datuk Dr. Yusof Basiron.

Sebaliknya beliau menegaskan, minyak sawit tempatan bukanlah terlebih harga kerana ia masih lagi murah selepas diskaun lebih daripada AS$100 setiap tan berbanding minyak soya.

Sebelum ini, harga minyak soya sentiasa mengatasi minyak sawit di pasaran antarabangsa. Misalnya pada Januari tahun 2002, ia mencecah RM2,100 setan metrik.

Malah, kempen-kempen negatif oleh persatuan pengeluar minyak soya AS sejak awal 1990-an banyak menyumbang kepada kenaikan harga yang lebih baik berbanding minyak sawit, biarpun minyak sawit terus mampu bersaing.

Ekoran daripada kedudukan selesa CPO ini, Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Masak Malaysia (MEOMA) pada 9 November lalu, `menggertak' kerajaan supaya harga siling minyak masak dinaikkan serta-merta.

Presiden MEOMA, James Goh Ju Tong mendakwa, ahli-ahlinya tidak sanggup memikul lebih besar kerugian dan akan mengurangkan pengeluaran minyak masak berasaskan sawit di pasaran domestik jika tidak ada kebijaksanaan tindakan segera daripada kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, wajar sahaja kerajaan menaikkan harga siling minyak masak domestik kerana bukan untuk meraih keuntungan, sebaliknya sekadar menampung kerugian yang besar akibat kenaikkan CPO di pasaran antarabangsa.

Kenyataan James tersebut pada dasarnya dapat dilihat pada dua sisi. Benarkah pengilang-pengilang mengalami kerugian besar ekoran meningkatnya harga CPO di pasaran antarabangsa atau ada faktor lain yang mendasari gesaan tersebut seperti peluang mengubah margin keuntungan mereka?

Jika dilihat secara umum, hanya lima peratus CPO diperuntukkan untuk kegunaan domestik dan mereka mendapat subsidi oleh kerajaan. Selebihnya adalah untuk pasaran antarabangsa.

Jika dinilai daripada peningkatan harga CPO di pasaran antarabangsa itu, pastinya pengilang-pengilang dan pengedar mahu menjualnya ke luar negara. Mereka pasti meraih keuntungan yang berlipat ganda berbanding menanggung kerugian (penjualan domestik) seperti yang didakwa.

Dalam hal ini, MEOMA dan persatuan-persatuan pengilang serta pengedar lain jelas melirik kepada pasaran antarabangsa yang lebih menguntungkan berbanding hanya menikmati keuntungan kecil atau terus menanggung kerugian seperti yang didakwa.

Oleh itu, satu-satu jalan keluar supaya mereka juga dapat mengubah margin keuntungan dalam pasaran domestik ialah mendesak kerajaan menaikkan harga siling supaya mereka turut mendapat `durian runtuh' daripada kenaikkan komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Dan, senjata utama untuk mendesak kerajaan ialah mengurangkan pengeluaran minyak sawit untuk pasaran domestik atau membekukan pengedaran stok yang sedia ada.

Sejauh mana benar atau tidak, beberapa pasar raya utama di ibu kota seperti Carrefour dan Jaya Jusco Mid Valley, Mega Mall mengalami penyusutan bekalan minyak masak sawit hingga 50 peratus ekoran ketiadaan bekalan sejak lebih seminggu lalu.

Berdasarkan laporan pasar raya terbabit kelmarin, pembekal-pembekal tidak mahu menghantar stok minyak masak sawit mereka kerana semata-mata tidak bersetuju dengan harga siling yang ditawarkan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tegasnya untuk mengadakan pemeriksaan ke kilang-kilang dan pusat-pusat simpanan minyak masak sawit di seluruh negara supaya ia tidak menjejaskan keperluan musim perayaan.

Beliau turut memberi amaran untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengedar-pengedar dan pengilang yang `degil' berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa kepada denda maksimum RM25,000 atau peraturan-peraturan yang sedia ada.

Sementara itu, Muhyiddin mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menaikkan harga siling minyak masak sawit hingga ia akan diputuskan selepas Tahun Baru Cina depan.

Antaranya, pengilang-pengilang dan pengedar tidak mempunyai inisiatif untuk menurunkan harga ketika kejatuhan komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Namun, beliau berkata, ketika mereka (pengilang dan pengedar) merasa tidak mendapat sasaran keuntungan yang sewajarnya ekoran kenaikan CPO di pasaran antarabangsa, mereka mulai `menggertak' kerajaan.

Sementara itu, MEOMA yang dihubungi kelmarin, berharap satu keputusan yang adil dan memuaskan hati semua pihak dapat dicapai tentang harga siling minyak masak domestik selepas Tahun Baru Cina.

Paling penting, MEOMA mahu kerajaan memandang serius supaya mereka tidak terus mengendong kerugian hingga menjejaskan industri minyak masak sawit tempatan.

Wednesday, September 17, 2003

GOOD ARTICLE

Mahalnyer Sebuah Kehormatan
====================

Seorang pemuda masuk ke dalam sebuah kedai makan, memesan makanan. Tidak beberapa lama kemudian, pesanannya datang. Saat pemuda itu hendak menikmati makanannya, datanglah seorang anak kecil laki laki menjajakan kuih padanya, "Bang, mahu beli kuih, bang ?" Dengan ramah pemuda yang sedang makan itu menjawab "Tidak, saya sedang makan".
Anak kecil tersebut tidak putus asa dengan cubaan pertama. Dia menunggu sampai pemuda itu selesai makan, lalu dia tawarkan lagi kuih dagangannya, "Bang, mahu beli kuih, bang ?" Pemuda tersebut menjawab, "Tidak dik, saya sudah kenyang."

Lalu, pemuda itu membayar di kaunter dan beranjak pergi dari kedai makan tersebut. Si anak kecil penjaja kuih itu mengikuti. Sudah hampir seharian dia menjajakan kuih buatan ibunya. Dia tidak menyerah pada usahanya. Anak

itu berfikir, "Cuba aku tawarkan kuih ini lagi pada pemuda itu. Siapa tahu kuih ini dijadikan ole ole buat orang di rumahnya." Apa yang dilakukan oleh anak kecil itu adalah usaha gigih membantu ibunya menyambung kehidupan yang serba sederhana ini.

Saat pemuda itu keluar rumah makan, anak kecil penjaja kuih itu menawarkan kuih dagangannya untuk yang ketiga kali, "Bang mahu beli kuih saya ?". Kali ini pemuda itu merasa risih untuk menolak. Kemudian, dia mengeluarkan wang RM 10 dari dompetnya dan diberikan pada anak kecil itu sebagai sedekah. Katanya, "Dik, ambil wang ini. Saya tidak beli kuih adik. Anggap saja ini sedekah dari saya buat adik."

Anak kecil itu menerima wang pemberian pemuda lalu memberikannya kepada seorang pengemis yang sedang meminta minta. Betapa terkejutnya pemuda itu. "Bagaimana anak ini ? Diberi wang tak mahu malah diberikan pada orang lain ?". Katanya, "Kenapa kamu berikan wang itu pada pengemis ? Mengapa tidak kau ambil saja ?"

Anak kecil penjaja kuih tersenyum lucu menjawab, "Saya sudah berjanji sama ibu di rumah untuk menjualkan kuih buatan ibu, bukan jadi pengemis. Dan saya akan bangga pulang ke rumah bertemu ibu kalau kuih buatan ibu terjual habis. Wang yang saya berikan kepada ibu hasil usaha kerja keras saya. Ibu saya tidak suka saya menjadi pengemis".

Pemuda itu kagum dengan kata kata yang diucapkan anak kecil penjaja kuih yang masih sangat kecil buat ukuran seorang anak yang sudah punya etika kerja bahawa "kerja adalah sebuah kehormatan". Kehormatan anak kecil itu akan berkurang di hadapan ibunya, bila dia tidak bekerja keras dan berhasil menjajakan kuih. Dan, adalah pantangan bagi sang ibu bila anaknya menjadi pengemis. Dia ingin setiap kali pulang ke rumah dia melihat ibunya tersenyum menyambut kepulangannya dan senyuman bonda yang tulus dia balas dengan kerja yang terbaik dan menghasilkan wang.

Akhir cerita, pemuda tadi memborong semua kuih yang dijajakan anak kecil itu. Bukan kerana kasihan, bukan kerana lapar tapi kerana prinsip yang dimiliki anak kecil itu "kerja adalah sebuah kehormatan". Dia akan mendapatkan wang kalau dia sudah bekerja dengan baik.

Semoga cerita di atas bisa menyedarkan kita tentang erti pentingnya kerja. Bukan sekadar untuk wang semata. Jangan sampai mata kita menjadi "hijau" kerana wang sehingga melupakan apa erti pentingnya kebanggaan kerjaya yang kita miliki. Sekecil apapun kerjaya itu, kalau kita kerjakan dengan sungguh sungguh, pastilah akan bererti besar.
FUNNY STORIES

Kawasan Larangan Memancing
==========================

Sepasang suami isteri pergi memancing dgn perahumereka disebuah tasik..
Si suami lebih suka memancing... manakala si isteri pula lebih sukamembaca saja.

Ketika sudah memancing beberapa jam si suami memutuskan untuk tidur sejenak dan meletakkan alat pancingnya didalam perahunya.. Si isteri pula terus dengan tabiat membacanya.. Tiba-tiba datang seorang penjaga tasik dgn botnya dan menghampiri perahu pasangan tersebut dan berkata

"Selamat pagi Puan.. apa yg sedang Anda lakukan??"

"Membaca !!" Jawab wanita itu.. dalam hatinya berkata.."buta ke tak nampak aku membaca.."

"Sebenarnya Anda berada di kawasan yg dilarang memancing" kata penjaga tasik

"Tapi saya tidak memancing..!!! Saya hanya membaca"

"Tapi saya nampak Anda memiliki PERALATAN untuk itu...jadi saya mesti membawa Anda ke pejabat kami untuk didenda..."

"Kalau Anda membawa saya ke sana.. saya akan mendakwa anda melakukan jenayah rogol..." tengking wanita itu

"Tapi saya tidak menyentuh Puan... !!" balas penjaga tasik kehairanan

"Ya... itu betul.. tapi Anda ada PERALATAN utk itu.."

Kebun sayur-sayuran
===================

Ada seorang wanita cantik yang memiliki kebun sayuran.. dia sangat ingin memiliki buah tomato yang merah dan besar.. tapi walau sudah diberi baja apapun... tomatonya tetap kecil dan agak kehijau-hijauan.

Jirannya seorang lelaki tua.. juga memiliki kebun sayuran dan menghasilkan buah tomato yang merah dan besar-besar.. akhirnya si wanita cantik itu bertanyakan pada lelaki tua itu apa rahsianya supaya buah tomato itu menjadi besar dan merah.

Lelaki tu itu memberitahu.. "Senang aje.. setiap hari.. diwaktu pagi dan petang..saya akan berdiri telanjang di depan pohon tomato saya dan dalam masa dua minggu tomato ituakan membesar.. cuba lah....

akhirnya si wanita cantik itu mencuba.. setiap pagi dan petang dia akan bertelanjang bulat di kebunnya... setelah dua minggu datang lelaki tua dan bertanya.."bagaimana dengan buah tomato kamu sudah membesar?"

Si wanita menjawab.."tomato saya tetap kecil.... tapi mentimun & terungjadi lebih panjang"

Akta 15
=======

Sepasang kekasih baru yang bekerja sebagai pekerja sosial.. Hamid dan Rosni selalu bersama walau kemana jua.. Suatu malam ketika mereka berdua keluar berdating...

Hamid : "Kita nak kemana nie?"

Rosni : "Tak kisah la.. mana-mana pun boleh"

Hamid : "Apa kata kalau kita ke pantai.."

Rosni : "Saya ok aje.."

Apabila sampai dipantai mereka berdua tidak keluar dari kereta.. mereka hanya berehat sambil berbual-bual didalam kereta.. Mulanya berbual biasa..lama-kelamaan.. Hamid meletakkan tangannya dipaha Rosni.. nampaknya Rosni tidak membantah..Beberapa minit kemudian.. Hamid mengerakkan tangannya beberapa inci ke atas... Rosni masih tidak membantah... hinggalah akhirnya ketika Hamid mengerakkan tangannya beberapa inci lagi.. Rosni berkata dengan sopan.."Abang Hamid... ingatlah pada akta 15 dalam perlembagaan pekerja sosial"

Setelah mendengarkan teguran Rosni itu.. Hamid terus menarik tangannya menjauhi Rosni.. walaupun sebenarnya dia tidak berapa ingat isi kandungan akta15 itu..

Hamid : "Maafkan saya"

Rosni : "Tak apa"

Lalu mereka pulang... Di rumah.. Hamid terus masuk kebilik dan membuka buku perlembagaan pekerja sosial dan mencari akta 15.. lalu dia membaca kandungannya...

"Teruskan Usahamu.. Jangan lakukan Separuh Jalan Sahaja"

Saturday, September 13, 2003

UCAPAN PENUH DR MAHATHIR KETIKA MEMBENTANGKAN BAJET 2004: Pengalaman jadikan Malaysia lebih bijak urus ekonomi


Tuan Yang DiPertua,

SAYA mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk ‘Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2004 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu’ dibaca bagi kali yang kedua.


PENDAHULUAN

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, sekali lagi Kerajaan dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2004, di Dewan yang mulia ini. Kita juga sedang menyediakan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Lapan (RMK-8) yang akan dibentangkan di Dewan ini pada 30 Oktober 2003. Insya-Allah.

Bajet 2004 ini telah digubal dengan mengambil kira prestasi pencapaian RMK-8 bagi tempoh separuh penggal pertama untuk memastikan dasar dan strategi pembangunan ekonomi negara dapat dilaksanakan sepenuhnya.



SETENGAH ABAD KEMAJUAN

DITEROKAI KEJAYAAN

GEMILANG KINI TERBUKTI


Negara baru saja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-46. Syukur kita kepada Allah SWT kerana semua lapisan rakyat dapat menyambutnya dalam suasana aman, makmur dan penuh kemeriahan. Sesungguhnya, kemerdekaan amat besar ertinya kepada kita. Kita bebas dari penjajahan. Kita juga bebas dari cengkaman kuasa besar. Kita berjaya memartabatkan kembali maruah bangsa. Kita berkuasa menguruskan negara kita sendiri. Kini, Malaysia telah menjadi lebih maju, dikenali dan dihormati oleh dunia.

Semasa negara mencapai kemerdekaan, kita hanya adalah sebuah ekonomi yang bergantung sepenuhnya kepada getah dan bijih timah. Transformasi ekonomi yang kita laksanakan sejak 1970-an telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara moden, di mana sektor perindustrian dan perkhidmatan kini menyumbang hampir 90 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kita telah menceburi industri berat dan menghasilkan kereta nasional yang telah berjaya menguasai hampir 80 peratus pasaran automobil tempatan. Hari ini Malaysia adalah negara perdagangan yang ke-17 terbesar di dunia dan pengeksport utama barangan elektronik. Eksport barangan buatan pula melangkaui 85 peratus dari eksport negara.

Proses perindustrian telah menuntut rangkaian infrastruktur yang moden dan efisien. Negara dihubungi dengan lebuh raya Utara Selatan dan Timur Barat. Pengangkutan bandar di Kuala Lumpur dan sekitar dipermodenkan dengan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan kereta api komuter elektrik. Kita juga telah membina pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa yang bertaraf dunia. Pelabuhan di Malaysia berupaya mengendalikan kontena sejumlah 11 juta TEUs dan hampir 450 juta tan metrik kargo. Pelabuhan Klang kini ditempatkan pada tangga ke-11, manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas ke-22 dalam World Container Port League. Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang berupaya mengendalikan 25 juta penumpang dan lima juta tan metrik kargo, adalah lapangan terbang yang termoden di rantau ini.

Dalam bidang ICT, Koridor Raya Multimedia (MSC) dibangunkan dengan infrastruktur multimedia yang mempunyai state-of-the-art technology. MSC adalah satu lagi kejayaan cemerlang dalam usaha kerajaan untuk membawa negara ke arah ekonomi berasaskan ICT. Kini, MSC telah berjaya menarik lebih 900 syarikat ICT tempatan dan antarabangsa, jauh lebih tinggi daripada sasaran 500 syarikat bagi tahun 2003. Jelas, tanggapan pihak yang meragui kebijaksanaan kita melaksanakan koridor raya ini, jauh meleset.

Kalau dahulunya pembinaan infrastruktur besar dilaksanakan oleh orang asing, kini anak bangsa kita sendiri mempunyai kepakaran dan berjaya menguasai teknologi untuk melaksanakan semua projek. Malaysia mempunyai hampir 44 ribu jurutera yang terlatih dalam bidang sivil, mekanikal dan elektrikal serta lebih tiga ribu arkitek dan dua ribu juru ukur bahan. Dengan penglibatan kita dalam pembinaan Linkedua, Menara Telekomunikasi Kuala Lumpur serta Menara Berkembar Petronas, kini kita sendiri mampu membina Pusat Pentadbiran Putrajaya yang indah dan teratur yang menjadi bandaraya contoh kepada negara-negara lain.

Kita telah membina litar F1 Sepang yang diiktiraf sebagai satu dari yang terbaik dalam sirkit Grand Prix. Jurutera muda negara terlibat bersama dalam usaha meningkatkan prestasi kereta berkuasa tinggi yang digunakan oleh Sauber Petronas untuk Lumba Kereta F1. Dengan ini, keupayaan kejuruteraan Petronas meningkat untuk mengeluarkan produk petroleum dalam industri automobil.

Banyak syarikat Malaysia juga telah beroperasi di peringkat antarabangsa. Yang terbesar ialah Petronas, yang terkenal sebagai antara syarikat petroleum antarabangsa terkemuka dan mempunyai operasi di 34 buah negara di dunia, terlibat dalam aktiviti mencari gali, mengeluar, menapis dan memasar minyak dan gas. Kini, Petronas turut disenaraikan dalam Fortune Global 500.

Kita juga telah mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Negara mempunyai 18 institusi pengajian tinggi awam, termasuk sebuah Universiti Islam Antarabangsa, di samping beratus kolej swasta untuk menampung keperluan pendidikan rakyat. Bagi melatih tenaga kerja teknikal, sebanyak 70 kolej teknikal telah ditubuhkan. Kita juga diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bagi pelajar dari negara asing. Kini, terdapat lebih 36 ribu penuntut dari 150 negara yang datang belajar di Malaysia.

Pencapaian kesemua ini memerlukan perubahan minda rakyat ke arah sikap dan nilai yang positif, terutamanya mempunyai semangat kental dan keazaman tinggi, berkeyakinan, sanggup bersaing, berinovasi serta berdaya tahan. Kita bermula dengan Dasar Pandang Ke Timur 21 tahun dulu, untuk mencontohi etika dan budaya kerja rakyat Jepun dan Korea yang mengutamakan dedikasi, disiplin dan kesetiaan serta sanggup bekerja bersungguh-sungguh ke arah memajukan negara. Kita telah membudayakan prinsip bersih, cekap dan amanah serta kepimpinan melalui teladan. Perkhidmatan awam negara pula dibina atas asas cekap, berdisiplin dan berkualiti.

Dasar Pensyarikatan Malaysia dipraktikkan kerana kita sedar betapa pentingnya kerjasama erat di antara sektor awam, swasta dan pekerja dalam usaha memesatkan pertumbuhan ekonomi negara. Dasar Penswastaan pula telah diperkenalkan untuk memperluaskan perkhidmatan kemudahan infrastruktur awam, di samping mengurangkan beban kewangan Kerajaan.

Kita adalah negara berwawasan. Kita kini hampir di pertengahan jalan menuju Wawasan 2020, ke arah membina sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju mengikut acuan kita sendiri. Bukan saja kita telah berjaya melaksanakan transformasi ke arah mempelbagaikan struktur ekonomi, malah rakyat Malaysia juga telah berjaya melakukan anjakan paradigma minda dan menjadi sebuah masyarakat yang berwibawa, moden dan progresif yang mempunyai pemikiran yang tajam, bangga dengan kejayaan serta yakin kepada kebolehan kita sendiri, sesuai dengan aliran zaman maklumat.

Dalam tempoh hampir setengah abad ini juga, kemampuan kita mengurus ekonomi negara telah banyak diuji. Pada tahun 1985, negara buat pertama kalinya semenjak merdeka telah mengalami kemelesetan akibat kejatuhan mendadak semua harga komoditi. Kita mengalami defisit di dalam imbangan bayaran negara dan akaun kewangan Kerajaan. Kita juga tidak lupa kesan peristiwa Black Monday pada 19 Oktober 1987 di mana pasaran saham utama dunia telah menjunam dan pasaran kita turut bersama.

Semua pengalaman ini telah menjadikan kita lebih bijak dan memberi keyakinan untuk merancang dan mengurus ekonomi negara. Ini terbukti di mana pencapaian pertumbuhan ekonomi negara telah mencatat kadar tertinggi iaitu purata lebih sembilan peratus setahun untuk tempoh 1988-1996.

Krisis kewangan yang melanda rantau ini adalah satu lagi ujian daya ketahanan serta kebolehan kita. Percubaan penyangak mata wang antarabangsa untuk menjadikan kita pengemis di dunia dengan menjatuhkan nilai ringgit ditumpas. Kerajaan telah melaksanakan langkah mengikut cara kita sendiri dan tidak tunduk kepada desakan meminjam dari IMF dan meletak negara di bawah kuasanya. Pendekatan ini telah dikritik dengan lantang sebagai jalan menuju kehancuran ekonomi. Langkah penambatan ringgit dan kawalan modal ditentang kuat, sementara penubuhan Danamodal, Danaharta, dan CDRC dianggap sebagai bail-out kepada syarikat dan bank-bank kroni Kerajaan, kononnya. Sebaliknya, ketiga-tiga agensi ini telah berjaya memperkukuhkan semula sistem perbankan negara. Sekarang, dunia dan agensi antarabangsa telah mengiktiraf kita dan menyarankan negara lain supaya mempelajari dari pengalaman Malaysia.

Danamodal telah menyuntik sejumlah 7.6 bilion ringgit ke dalam 10 institusi perbankan, untuk meningkatkan keupayaan menyalurkan pinjaman. Lebih daripada 70 peratus dari jumlah ini telah pun dibayar balik.

Danaharta pula telah berjaya menyusun semula sejumlah 50 bilion ringgit hutang tak berbayar (NPL). Kadar NPL kini berada di paras 6.7 peratus. Di samping itu, CDRC telah berjaya menyelesaikan 48 kes penstrukturan semula hutang syarikat berjumlah 52.6 bilion ringgit. Dengan ini, institusi perbankan dikukuhkan semula dan kebanyakan syarikat disusun dan dipulih. Oleh itu, kita berjaya mengelak dari terpaksa menjual aset negara kepada orang asing.

Kejayaan kita mengatasi krisis kewangan dan memulihkan ekonomi, mengecewakan kesemua pengkritik kita. Hanya ahli politik dan media yang berkepentingan sahaja enggan mengakui kejayaan kita.

Berkat usaha-usaha ini, negara kita telah berjaya mencatat pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.7 peratus dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang iaitu, RRJP Satu, 1971-90 dan sebanyak 7.1 peratus dalam RRJP Dua, 1991-2000. Pertumbuhan ekonomi ini telah dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan pendapatan per kapita telah meningkat daripada 1,132 ringgit pada tahun 1970 kepada 13,683 ringgit pada 2002. Kuasa beli pariti rakyat juga meningkat dari 1,247 dolar kepada 8,862 dolar Amerika. Manakala, kadar kemiskinan rakyat telah berkurangan dengan ketara sekali iaitu kepada hanya 5.1 peratus pada 2002 daripada 52.4 peratus dari jumlah isi rumah pada tahun 1970.

Walau bagaimanapun, dalam kemakmuran yang dikecapi ini, kita bersimpati dengan rakyat di beberapa negeri kita yang masih dihimpit kemiskinan dan dikongkong kemunduran. Pemimpin yang mereka pilih tidak mampu dan berupaya melaksanakan pembangunan negeri. Mereka memburukkan lagi keadaan dengan mendakwa kemiskinan dan kemelaratan adalah takdir yang harus diterima. Oleh itu, mereka juga berpendapat sekiranya negeri Islam itu miskin, kolot dan mundur ia adalah takdir.

Kejayaan yang telah diperolehi, kemakmuran yang kita nikmati dan kegemilangan negara ini adalah Kerana Mu Malaysia.

Tetapi, janganlah kita leka dibuai kemewahan, kerana panas tidak selalu sampai ke petang, mungkin hujan di tengah hari. Air di laut, ada kalanya pasang, ada kalanya surut.

Dengan keupayaan kita untuk memaju dan menguruskan negara dengan baik dan berjaya, Malaysia kini dianggap sebagai negara contoh kepada negara membangun. Ramailah pegawai dan pemimpin negara membangun yang datang untuk meneliti dan mempelajari cara-cara Malaysia dibangunkan. Pegawai dan pakar kita pula diundang untuk memberi nasihat dan latihan dalam pelbagai urusan pentadbiran dan pembangunan di negara lain.

Kesanggupan kita menyuarakan pandangan terhadap isu-isu antarabangsa, termasuk mengkritik ketidakadilan oleh siapa saja memberi semangat kepada mereka yang tidak dapat bersuara. Justeru itu, Malaysia sekarang dianggap sebagai jurucakap Dunia Ketiga dan diberi penghormatan sebagai tuan rumah dan pemimpin Pergerakan Negara Berkecuali.

Negara juga diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang maju dan progresif dan telah menjadi contoh kepada negara Islam yang lain. Negara-negara ini amat kagum di atas kejayaan kita membangunkan sebuah negara Islam yang maju dan makmur. Sesungguhnya, kita telah berjaya melaksanakan jihad dalam semua aspek pembangunan, terutama ekonomi, sosial, agama serta politik dan membuktikan keupayaan ummah Islamiah di zaman ini. Kerana ini, kita dipilih sebagai tuan rumah dan pengerusi Persidangan Negara Islam (OIC) yang ke 10 pada Oktober ini.

Untuk terus membolehkan kita menyuarakan pandangan dengan berkesan di fora antarabangsa, kita perlu mempunyai keupayaan untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Dahulunya, di mesyuarat antarabangsa, pegawai Malaysia sentiasa dipilih untuk mempengerusi dan mengetuai kumpulan menderaf laporan persidangan kerana kebolehan kita bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Untuk memastikan negara menjadi global player di arena antarabangsa, kita perlu kepada bahasa Inggeris. Oleh itu, pelajaran Bahasa Inggeris ditingkatkan dan bahasa Inggeris diguna untuk mengajar Sains dan Matematik, ilmu-ilmu yang perlu kita kuasai di zaman teknologi maklumat ini. Yakinlah, apabila bangsa kita maju, maka dengan sendirinya bahasa kita juga akan berkembang. Tidak ada siapa yang akan pelajari bahasa bangsa yang miskin dan mundur.

EKONOMI NEGARA TERUS PULIH

BERKAT KEYAKINAN

DAN USAHA GIGIH

Pada bulan Mei tahun ini, Kerajaan telah mengumumkan Strategi Baru Ke Arah Merangsang Pertumbuhan Ekonomi Negara yang memberikan tumpuan kepada empat strategi utama iaitu menggalakkan pelaburan swasta, memperkukuhkan daya saing negara, membangun punca pertumbuhan baru dan meningkatkan keberkesanan delivery system. Sebanyak 90 langkah telah digubal di bawah pakej tersebut. Alhamdulillah, Pakej Strategi Baru ini telah memberi kesan yang memberangsangkan.


Prestasi ekonomi negara selepas Pakej ini amat menggalakkan dengan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus pada suku pertama 2003. Bagi suku kedua pula, walaupun terdapat kesan negatif dari pencerobohan di Iraq dan wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS), pertumbuhan KDNK adalah 4.4 peratus, lebih tinggi dari yang dijangkakan. Dengan ini, pada separuh pertama tahun 2003 pertumbuhan ialah sebanyak 4.5 peratus. Jelaslah pendekatan Kerajaan dan sambutan oleh rakyat berhasil.

Ssemua sektor ekonomi meningkat lebih kukuh dengan sektor pembuatan menerajui pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus, diikuti oleh sektor perlombongan 4.5 peratus dan sektor perkhidmatan 4.2 peratus.

Dari segi perbelanjaan pula, penggunaan oleh swasta meningkat sebanyak 3.9 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini. Pelaburan sektor swasta pula telah menunjukkan respons positif kepada insentif di bawah Pakej Strategi Baru. Pelaburan sektor swasta dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2 peratus setelah teruk merosot dalam beberapa tahun berikutan krisis kewangan.

Sungguhpun permintaan luar terjejas oleh persekitaran global yang lembap, namun sumbangan eksport negara kepada pertumbuhan KDNK kekal positif. Ini mencerminkan bahawa eksport negara masih kompetitif dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa. Pencapaian ini juga adalah hasil dari usaha kerajaan untuk meneroka pasaran baru, terutamanya di Afrika, Amerika Selatan dan Asia Barat, di samping mengeratkan lagi hubungan perdagangan serantau, khususnya di kalangan negara Asean dan Asia Timur. Langkah ini berjaya mengurangkan peratusan pergantungan kepada pasaran tradisional, seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Dalam pasaran saham, perasaan ceria jelas telah kembali semula. Indeks Komposit Kuala Lumpur telah melonjak kepada paras tertinggi 756.48 mata pada 5 September, berbanding dengan 632.43 mata pada 2 Januari tahun ini. Jumlah transaksi harian di BSKL mencecah 586 juta unit bernilai 1.17 bilion ringgit, berbanding hanya 107 juta unit bernilai 0.5 bilion ringgit dalam tempoh yang sama. Nilai pasaran kini berada di paras 581.98 bilion ringgit berbanding dengan 473.16 bilion ringgit pada 2 Januari 2003. Pelabur tempatan dan pelabur asing juga telah kembali aktif dengan jumlah transaksi dagangan mereka meningkat lebih tiga kali ganda.

Sewajarnya, kita bersyukur kerana wabak SARS yang telah memberi impak negatif, terutamanya kepada sektor pelancongan, juga telah berakhir. Tindakan tegas kerajaan melaksanakan langkah pencegahan awal telah berjaya membendung penyakit tersebut dari merebak. Di samping itu, pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq tidak memberi kesan negatif yang besar kepada kita. Sektor pelancongan kini telah mula pulih. Sesungguhnya, Pakej Strategi Baru bagi menangani kesan negatif SARS telah berjaya.

Prestasi ekonomi yang semakin kukuh telah memantapkan lagi asas-asas ekonomi negara. Rizab antarabangsa terus meningkat kepada RM146.9 bilion r atau AS$38.7 bilion yang mampu membiayai 6 bulan import tertangguh dan adalah 4.3 kali lebih tinggi dari hutang luar negara jangka pendek. Sistem perbankan terus teguh dengan beberapa institusi utama perbankan mencatatkan keuntungan baik. Kedudukan kecairan yang tinggi dalam ekonomi negara telah membolehkan Kerajaan terus mengamalkan dasar kewangan yang akomodatif, dengan regim kadar faedah yang rendah. Kedudukan ini juga telah membolehkan Kerajaan menggembleng non-inflationary domestic resources tanpa menjejaskan sektor swasta. Pada masa yang sama, Kerajaan juga tidak perlu kepada sumber pinjaman luar. Indeks Harga Pengguna juga terkawal pada paras 1.2 peratus.

Sungguh pun terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi global, namun kita menjangkakan adalah sukar bagi ekonomi dunia kembali pulih kepada tahap sebelum krisis kewangan dalam masa terdekat. Realitinya, jalan menuju pemulihan sepenuhnya masih jauh dan penuh berliku, memandangkan risiko geopolitik yang masih belum reda. Kuasa besar masih cenderung menggunakan kekerasan dan paksaan dalam melaksanakan regime change ke atas pemerintahan negara-negara yang tidak sehaluan dengannya. Semenjak peristiwa 11 September, mereka juga menggunakan slogan global war against terror sebagai alasan untuk mengugut negara yang dituduh bersimpati dan melindungi pengganas.

Inilah caranya kuasa besar menghalalkan pencerobohan dan penindasan mereka ke atas negara seperti Afghanistan dan Iraq. Mereka juga mempertahankan alasan ini sebagai justifikasi bagi mereka mengambil langkah pre-emptive terhadap negara lain. Jelas mereka mengamalkan law of the jungle. Bagi mereka might is right. Kekuatan menghalalkan segala-galanya.

Sebenarnya, kita telah berulang kali menyarankan bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik geopolitik ini hanyalah dengan mencari punca sebenar tercetusnya keganasan dan menyelesaikannya. Kekerasan dan tindak balas secara besar-besaran (massive retaliation) hanya akan menyulitkan usaha mencapai keamanan dan pemulihan sepenuhnya ekonomi global.

Dalam suasana ekonomi global sekarang, semestinyalah langkah serta usaha yang lebih gigih dilaksanakan ke arah mewujudkan kerjasama serantau. Kekuatan kerjasama di kalangan negara serantau boleh memberi kesan dan pandangan serius oleh negara maju kepada pendirian kita bersama. Semasa krisis kewangan Asia, negara di rantau ini telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama membantu negara yang terjejas teruk. Lebih daripada separuh sumbangan dana yang diberikan kepada negara tersebut datangnya daripada sumber kewangan negara di rantau ini. Di samping itu, negara ASEAN+3 telah menyediakan kemudahan kewangan berbilion dolar di bawah Inisiatif Chiangmai dan Inisiatif Miyazawa. Dari segi pendirian di peringkat antarabangsa, kebanyakan negara di bawah Kumpulan ini juga telah menyuarakan secara lantang kelemahan dan ketidakadilan sistem kewangan antarabangsa yang telah mencetuskan krisis kewangan Asia.

Lebih satu dekad yang lalu, kita telah mencadangkan penubuhan Kumpulan Ekonomi Asia Timur atau EAEG. Pada ketika itu, cadangan ditolak dan dianggap merbahaya. Namun, selepas 13 tahun, idea kerjasama dan pembinaan masyarakat Asia Timur kini bukan hanya dianggap logik, tetapi telah menjadi realiti dan diterima sebagai landasan bagi negara rantau ini untuk melangkah bersama ke hadapan dalam bidang ekonomi, perdagangan dan kewangan. Kita tidak putus asa walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan. Bayangkanlah, jika EAEG telah diterima lebih awal, krisis kewangan serantau mungkin dapat dielak atau sekurang-kurangnya diperkecilkan kesannya. Kita sudah kehilangan masa yang banyak. Yang penting kita perlu bertindak pantas, menggandakan usaha dan meningkatkan kerjasama bagi mencapai matlamat EAEG.

Rantau Asia Timur mempunyai rizab bertrilion dolar. Pada masa ini, sebahagian besar daripada rizab ini dilaburkan di negara Barat. Kini, sudah tibalah masanya kita mencari alternatif terbaik bagi memaksimakan penggunaan sumber serantau. Dalam hal ini, kita mengalu-alukan penubuhan Inisiatif Pasaran Bon Asia atau ABMI, yang diusahakan oleh Menteri-menteri Kewangan Asia Timur. Inisiatif ini akan menggembleng sumber pembiayaan jangka panjang untuk membiayai pelaburan sektor swasta. Ia akan dapat membantu mengelakkan mismatch pembiayaan seperti yang berlaku semasa Krisis Kewangan Asia, di mana pinjaman jangka pendek digunakan untuk membiayai pelaburan jangka panjang. Ia juga dapat mengelakkan risiko tukaran asing. Untuk memastikan kejayaan Inisiatif ini, kerajaan akan menyediakan galakan cukai yang sesuai. Di samping itu, Malaysia akan mengambil peluang untuk memperluaskan penggunaan instrumen kewangan Islam dalam ABMI berasaskan kepada pengalaman dan kepakaran kita dalam membangunkan sistem kewangan Islam.

Apa jua bentuk kerjasama serantau, mesti diasaskan kepada manfaat bersama, saling menghormati, mengutamakan persamaan hak dan menegakkan demokrasi. Tiada siapa yang harus mementingkan diri sendiri dan menekan jiran. Tidak harus ada niat oleh sesiapa untuk menguasai negara lain. Tidak ada perjanjian yang harus dipaksa. Perjanjian tidak boleh berat sebelah. Unilateralism tidak boleh diterima. Malahan, kemajuan mesti bertunjang kepada konsensus, kesepakatan dan persefahaman. Kekurangan dan ketidaksamaan di antara negara jiran perlu diimbangi sebaik mungkin. Prinsip prosper thy neighbour atau perkayakan jiran mesti menjadi teras dan amalan dalam hubungan negara-negara.

Namun, ada negara jiran yang kerap menguji kesabaran kita dengan tuduhan yang tidak berasas dan berprinsip. Kita tidak akan membalas demikian. Kita akan terus berpegang kepada prinsip berbaik-baik dengan jiran, mencari jalan yang halal dan adil. Jika sepasang yang bermasalah tidak dapat selesaikan masalah melalui rundingan, maka biasanya pihak ketiga akan menghakimi dan menghukum secara adil. Kita sanggup rujuk kepada pihak ketiga, kepada proses timbang tara. Konfrantasi dan berperang bukan cara kita. Mengugut dan memburukkan imej orang bukan cara kita. Memberi alasan dan fakta yang tidak berasas, tidak betul, bukan cara kita. Adalah diharap cadangan merujuk kepada pihak ketiga ini diterima baik secepat mungkin.


MENAMBAH USAHA MENUJU KECEMERLANGAN,

MENGGANDA IKHTIAR MENGATASI CABARAN

Persekitaran luar masih terus tidak menentu. Dunia masih berada dalam ketakutan, terutama ketakutan mengguna pesawat terbang awam, yang menghalang urusan perniagaan. Sebab itu, kita tidak boleh tunggu dan bergantung kepada sektor luar. Kita juga tidak boleh bergantung secara berpanjangan kepada pelaburan dan perbelanjaan Kerajaan untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Sesungguhnya, keupayaan Kerajaan bukan tidak terhad.

Justeru itu, kita harus kembali kepada sektor swasta tempatan untuk menjana pertumbuhan ekonomi kita. Kita juga perlu mencari pasaran baru untuk dagangan kita. Kita juga perlu menjadi benar-benar negara dagang, iaitu segala eksport kita dibuat oleh kita sendiri dan dijual terus kepada pengimport negara asing.

Semasa kita merancang untuk menjadi negara perindustrian, kita didorong oleh keperluan menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat kita sebanyak mungkin. Pertanian tidak mampu membekal peluang pekerjaan yang banyak. Hanya sektor pembuatan yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi.

Kerajaan tidak berminat untuk mendapat hasil dan cukai dari perindustrian. Justeru itu, kita sanggup memberi pengecualian cukai untuk jangka masa yang agak panjang, asalkan pekerja kita mendapat peluang pekerjaan.

Strategi ini berjaya. Peluang pekerjaan menjadi begitu banyak sehingga pekerja asing membanjiri negara kita. Umumnya, rakyat kita yang sanggup bekerja tidak akan menganggur.

Bersama dengan pertumbuhan industri pembuatan hasil dari pelaburan asing, dagangan Malaysia, iaitu import dan eksport Malaysia meningkat dengan mendadak. Kini, jumlah dagangan kita adalah sebanyak RM760 bilion atau AS$200 bilion dolar. Kita boleh berbangga dengan kejayaan kita menjadi negara perindustrian dan bukan lagi negara pertanian.

Bahawa rakyat mendapat banyak manfaat dari pertumbuhan ekonomi melalui industri tidak dapat dinafikan. Di masa yang sama, rakyat juga memperoleh kecekapan yang membolehkan mereka mengadakan industri sendiri. Sekarang banyak sudah barangan elektrik dan elektronik serta barangan pembuatan yang lain yang diusahakan oleh rakyat Malaysia sendiri. Yang jelas ialah apabila barangan pembuatan dikeluarkan oleh pengusaha Malaysia sendiri, sumbangan kepada kekayaan negara adalah lebih besar.

Kita tidak ingin mengurangkan pelaburan asing, tetapi untuk memaksimakan perolehan negara, kita perlu mempertingkatkan pelaburan oleh rakyat kita sendiri. Lagipun, modal asing untuk pelaburan sudah berkurangan dan kebanyakannya telah mengalir ke negara-negara yang upah pekerjanya rendah.

Jepun, Korea Selatan dan Taiwan tidak bergantung kepada pelabur asing untuk perindustrian mereka. Pengusaha tempatan dengan bantuan kerajaan mereka menceburi bidang industri dengan membeli atau mencipta sendiri teknologi pembuatan. Kita tidak dapat berbuat demikian pada mulanya kerana kita tidak banyak modal, teknologi, kecekapan pengurusan dan pengetahuan berkenaan pasaran dunia. Tetapi setelah kita mendapat pengalaman dalam semua ini, kita sekarang lebih mampu meneroka dan memasuki dalam bidang industri pembuatan sendiri. Ini dapat dilihat dari bertambahnya barangan buatan kita, termasuk kereta bermotor, lori, bas, kereta api ringan, barangan elektrik dan elektronik, pelbagai jenis kren, IT, kilang penapis bagi oleo-chemical dan petro-chemical serta barangan binaan dan bermacam-macam lagi.

Namun, ramai pelabur kita kurang yakin dan sering menumpu kepada pasaran tempatan saja. Pasaran kita adalah kecil dan tidak dapat memberi economies of scale yang boleh menurunkan kos. Tetapi jika kualiti barangan kita baik dan kita keluarkan secara besar-besaran, kita mampu bersaing dengan negara maju. Oleh itu, pengusaha kita mesti berani mengeluar barangan buatan yang berkualiti secara besar-besaran untuk pasaran dunia.

Selain dari industri pembuatan, kita juga boleh tingkatkan hasil pertanian kita. Banyak hasil pertanian yang boleh diproses dan ditambah nilai. Industri pelancongan dan pendidikan juga boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Sesungguhnya, jika kita membuat audit berkenaan kebolehan kita dalam bidang industri, banyak benar darinya yang boleh menyumbang kepada ekonomi kita dan seterusnya, menjadikan kita sebagai negara dagang yang lebih besar.

Kita mempunyai dagangan dengan lebih 200 buah negara, kecil dan besar. Tetapi masih banyak dari negara-negara ini yang tidak diberi tumpuan sepenuhnya sebagai rakan dagangan. Ini termasuklah negara-negara Teluk Parsi, Afrika Utara dan negara-negara Afrika yang lain.

Sekarang ini, Malaysia terkenal dalam bidang pembangunan infrastruktur. Jika dulu pemborong asing mendapat kontrak binaan jalan, jambatan dan empangan, sekarang kita juga boleh bersaing untuk mendapat kontrak binaan. Dalam bidang cari gali dan pengeluaran minyak, Petronas telah menembusi lebih dari 30 negara. Kita perlu satu lagi konsortium yang boleh mencari gali, mengeluar dan menapis minyak. Dalam negara, Kerajaan bolehlah memberi marginal fields kepada konsortium ini supaya mereka akan lebih diyakini oleh negara asing.

Sesuatu yang amat penting ialah kualiti dan kemampuan syarikat-syarikat Malaysia. Kita tidak boleh membenarkan syarikat yang tidak berwibawa mencari kontrak dan peluang di luar negeri dan menyalahgunakannya dengan menjual kepada syarikat lain. Ini akan menghilangkan kepercayaan kepada syarikat-syarikat Malaysia dan kepada Malaysia sendiri.

Kita telah bangunkan pelabuhan dan lapangan terbang yang mampu memberi khidmat yang baik kepada pengeksport dan pengimport kita. Lebuh raya ekspres dan sistem kereta api kita juga mestilah dipergunakan dengan sepenuhnya oleh pedagang kita.

Pengeluaran barangan di zaman ini tidak lagi seratus peratus nasional. Banyak dari bahagian-bahagian dalam barangan buatan tempatan diperoleh dari negara asing. Yang diutamakan ialah jenama barangan berkenaan. Banyak sudah barangan jenama terkenal di dunia yang mempunyai komponen dari Malaysia. Namun, barangan ini tidak dianggap sebagai barangan Malaysia.

Kita juga perlu ada barangan jenama Malaysia yang mempunyai komponen dari negara lain. Yang penting ialah nama yang baik, yang diperoleh oleh jenama Malaysia. Kebolehan mencipta, mereka bentuk dan menguasai pasaran dengan jenama Malaysia amatlah penting. Nama kebaratan tidak selalunya lebih mudah dikenali. Hari ini dunia kenal Hitachi, Honda, Toyota, Hyundai, Samsung dan lain-lain lagi. Bukanlah mustahil nama dalam bahasa kita diterima oleh dunia.

Kita perlu tingkatkan dagangan dengan mengeluar dan mengeksport barangan dan perkhidmatan kita, tanpa mengurangkan eksport barangan hasil pelaburan asing. Penglibatan rakyat Malaysia dalam semua jenis industri, mestilah diperbesarkan dan rakyat Malaysia mestilah mengurus sendiri segala yang berkaitan dengan perdagangan luar dan dalam negara. Untuk ini, kerajaan akan menyediakan sokongan dalam bentuk dasar, dana dan sistem penyampaian atau delivery system.


Mengukuhkan Industri Kecil dan Sederhana

Dalam usaha menggalakkan pelaburan swasta, Kerajaan telah memberi tumpuan kepada pembangunan industri kecil dan sederhana. Langkah ini bukan hanya menjadikan IKS sebagai pembantu kepada pembangunan industri utama tempatan, malahan IKS sendiri boleh mengeluarkan komponen untuk industri di negara lain. Kerajaan telah menyediakan Skim Kredit Mikro di bawah Pakej Strategi Baru untuk memberikan pinjaman mudah kepada pengusaha kecil, yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti petani, penternak lembu, peniaga pasar malam, penjaja dan lain-lain. Alhamdulillah, sambutannya di luar dugaan.

Sehingga kini, Bank Pertanian Malaysia (BPM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menerima hampir 88,000 permohonan yang bernilai RM1.4 bilion. Dari jumlah ini, hampir 42,000 permohonan bernilai RM430 juta telah diluluskan. Pembayaran balik pinjaman juga menggalakkan dengan hampir 86 peratus dari jadual pembayaran balik telah pun diterima. Kerajaan berbangga dengan sambutan ini. Namun, masih terdapat juga mereka yang cuba menyalahgunakan kemudahan ini. Bagi mereka yang telah diluluskan pinjaman, janganlah pula ada yang liat untuk membayar balik pinjaman. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: 'Sesungguhnya paling besar dosa di sisi Allah yang akan didapati seorang hamba setelah dosa-dosa besar yang dilarang Allah adalah: Seseorang mati meninggalkan hutang, tidak ada yang membayarkannya'.

Mempergiatkan Penggunaan Swasta

Sebagai satu lagi langkah untuk menggiatkan aktiviti ekonomi domestik ialah menggalakkan rakyat untuk berbelanja dalam negara. Ini adalah kerana setiap RM1 yang dibelanjakan akan ada yang menerima RM1, mendapat untung daripadanya dan dibelanja olehnya pula, dan seterusnya akan menghasilkan kesan berganda ke atas ekonomi. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan telah mengambil langkah bagi menambah pendapatan boleh guna rakyat melalui potongan cukai dan pemberian insentif, potongan kadar caruman KWSP serta pemberian bonus kepada anggota perkhidmatan awam apabila kewangan mengizinkan. Di samping itu, kadar tabungan negara sebanyak 32 peratus mengukuhkan kewangan negara. Tabungan di Malaysia tidak merugikan kerana nilai mata wang kita tidak susut dari segi daya beli.

Kewangan negara yang dapat mengimbangi penabungan dengan perbelanjaan, tetap sihat. Inilah amalan yang terbaik.


Meningkat Daya Saing Menghadapi Kesan Globalisasi

Globalisasi seperti yang ditafsir sekarang bermakna penghapusan sempadan supaya dagangan tidak diganggu. Kerajaan pula tidak dibenar campur tangan dalam pasaran. Kononnya, pasaran akan regulate dengan sendirinya.

Sebenarnya, pasaran hanya tertumpu kepada perolehan keuntungan sebesar mungkin. Justeru itu, negara maju sedang membesarkan syarikat dan bank mereka untuk mengalahkan saingan oleh peniaga negara membangun. Tidak mungkin syarikat dan bank kerdil di negara membangun mampu menangkis serangan gergasi yang akan melanda masuk akibat globalisasi. Tidak akan wujud persaingan yang adil. Sekali lagi Might is Right dijadikan pegangan tamadun semasa.

Kita terima globalisasi, tetapi tidak seperti yang diinterpretasi oleh negara maju. Kita akan perkenalkan interpretasi kita dan akan berjuang habis-habisan untuk diterima oleh WTO.

Sementara itu, kita mesti gigih dan tabah berdepan dengan cabaran globalisasi. Kita perlu tingkatkan sovereign competitive edge kita supaya kita mampu bersaing dengan global players di pasaran antarabangsa. Ini hanya akan dapat dicapai dengan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos perniagaan, memperolehi teknologi serta lebih berinovatif. Usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam telah menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara. Di samping itu, langkah perubahan minda semua rakyat supaya sanggup bersaing hendaklah terus diusahakan.



STRATEGI BAJET 2004


Kerajaan telah mengambil tindakan pantas dan berani dengan melaksanakan peralihan dasar pertumbuhan daripada yang berasaskan eksport semata-mata kepada domestic-led growth. Kini, ternyata bahawa peralihan dasar ini telah berjaya membebaskan negara daripada belenggu kemelesetan. Justeru itu, teras Bajet 2004 dirangka bagi mempastikan kesinambungan dasar dan strategi Kerajaan untuk merangsang dan menggerakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan peranan rakyat negara kita. Kerajaan sebagai penjana ekonomi tidak boleh diteruskan selama-lamanya. Sebab itu, Kerajaan memperkenalkan Pakej Strategi Baru supaya pihak swasta kembali menjadi penjana ekonomi.

Berdasarkan kepada perkembangan ini, Strategi Bajet 2004 akan menumpukan kepada:

Pertama: Memacu sektor swasta tempatan dan menggiat sektor perkhidmatan bagi menerajui pertumbuhan ekonomi.

Kedua: Mengambil langkah konsolidasi fiskal ke arah bajet berimbang dalam masa terdekat.

Ketiga: Melaksanakan dasar kewangan yang dapat mendorong dan meningkatkan lagi penggunaan dan pelaburan swasta.

Keempat
: Mengukuhkan lagi daya saing negara supaya Malaysia menjadi a truly trading nation.

Kelima: Memantapkan lagi agenda sosial dan masyarakat penyayang untuk meningkatkan lagi kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat.



Strategi Pertama:

Sektor Swasta Menerajui Pertumbuhan Ekonomi

Bagi tempoh 10 tahun sebelum krisis kewangan, sektor swasta telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan pelaburannya meningkat pada kadar purata tahunan melebihi 21 peratus. Sebahagian besar daripada pertumbuhan ini telah disumbangkan oleh Pelaburan Langsung Asing (FDI), terutamanya dalam sektor pembuatan. Malahan, hampir 90 peratus daripada eksport negara adalah barangan pembuatan keluaran syarikat FDI.

Dari segi pembiayaan, kita juga dapati syarikat asing yang beroperasi di negara kita membiayai sebahagian besar pelaburan mereka dari sumber dalam negeri. Oleh itu, aliran masuk dana asing sebenarnya adalah lebih kecil daripada yang diandaikan. Di samping itu, syarikat FDI mengeluarkan produk yang bukan berjenama Malaysia, kurang mempunyai backward and forward linkages dan menggunakan teknologi asing yang dibangunkan di luar negara. Sumbangan terbesar FDI ialah pengwujudan peluang pekerjaan. Tetapi hari ini, kita tidak mempunyai pekerja yang menganggur lagi dan peluang ini dinikmati oleh pendatang asing.

Kita mesti mengubah semua ini dan berani melakukan transformasi ekonomi untuk beralih dari ekonomi yang digerakkan oleh FDI kepada yang diterajui oleh pelabur tempatan. Kita mesti bertindak pantas dan tangkas membuat quantum leap untuk mengambil alih peranan sebagai pelabur, pengeluar dan pengeksport negara. Sektor swasta tempatan mesti mewujud dan mengeluarkan produk berjenama Malaysia dengan kualiti bertaraf dunia untuk menembusi dan menguasai pasaran antarabangsa supaya dagangan kita adalah dagangan produk kita. Kita perlu menggalakkan inisiatif sektor swasta tempatan untuk mengeluarkan produk tempatan yang mempunyai value creation yang tinggi, bermula dari hasil penyelidikan tempatan serta penggunaan komponen dan perkhidmatan logistik tempatan. Ini akan menjamin kesan spin off yang lebih luas dan wealth creation yang lebih tinggi kepada rakyat dan negara.

Kita mesti menggandakan usaha untuk menjadi global trader dengan meningkatkan langkah mempromosikan barangan keluaran negara ke seluruh pelosok dunia secara langsung, terutamanya ke pasaran bukan tradisi. Sebagai langkah strategik ke arah mencapai tujuan ini, Matrade akan dikorporatkan. Matrade akan dibantu oleh pakar yang mempunyai pengalaman dari sektor swasta, termasuk pegawai dagang, dalam mempromosikan eksport. Untuk tujuan pengkorporatan ini, kerajaan akan menyediakan geran pelancaran sebanyak RM100 juta. Matrade juga akan memulakan roadshows, termasuk export promotion on wheels, ke negara Timur Tengah dan Afrika. Di samping itu, kerajaan juga akan menggalakkan inisiatif sektor swasta untuk menubuhkan trading houses bagi eksport negara. Kerajaan akan mengenal pasti dan membantu individu dan syarikat swasta yang mampu melaksanakan hasrat negara.

IKS mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping mempunyai pelbagai keluaran yang berpotensi untuk dimajukan sebagai produk berkualiti dan bernilai tambah yang tinggi untuk eksport. Hala tuju dan pembangunan IKS perlu dirangka supaya lebih teratur dan tersusun supaya fungsinya sebagai back bone kepada syarikat industri besar ditambah dengan eksport ke luar negara. Bagi tujuan ini, Majlis Peringkat Tertinggi IKS telah ditubuhkan bagi menggubal dasar dan strategi yang lebih komprehensif bagi pembangunan bersepadu IKS di semua sektor.

Untuk menggalakkan IKS melaksanakan program pembesaran pelaburannya, kerajaan bercadang untuk meningkatkan nilai threshold pendapatan bercukai IKS yang dikenakan cukai korporat sebanyak 20 peratus seperti yang diumumkan dalam Bajet 2003, daripada RM100,000 kepada RM500,000. Dengan peningkatan threshold ini, IKS akan mempunyai sumber sebanyak RM322 juta lagi untuk dilaburkan semula.

Sebagai langkah untuk terus memperkukuhkan lagi peranan sektor swasta, kerajaan mencadangkan langkah-langkah berikut:

i. Memberi galakan cukai kepada syarikat milik tempatan sedia ada yang melabur semula bagi mengeluarkan mesin dan peralatan termasuk jentera berat dan machine tools, seperti berikut:

a. memberi taraf perintis dengan kadar pengecualian cukai 70 peratus ke atas peningkatan pendapatan daripada pelaburan semula bagi tempoh lima tahun; dan

b. memberi elaun cukai pelaburan 60 peratus ke atas pelaburan tambahan dalam tempoh lima tahun.

ii. Menambah baik galakan bagi pengeluaran produk yang menggunakan biomass kelapa sawit, seperti berikut:

a. meningkatkan kadar pengecualian cukai pendapatan di bawah skim taraf perintis daripada 70 peratus selama lima tahun kepada 100 peratus selama 10 tahun; dan

b. meningkatkan kadar elaun cukai pelaburan daripada 60 peratus kepada 100 peratus selama lima tahun.


iii. Bagi syarikat sedia ada yang menggunakan biomass kelapa sawit pula, galakan berikut diberikan:

a. taraf perintis dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun, ke atas peningkatan pendapatan daripada pelaburan semula; dan

b. elaun cukai pelaburan 100 peratus selama lima tahun ke atas pelaburan tambahan.



iv. Menambah baik galakan cukai kepada syarikat di Sabah, Sarawak dan koridor timur Semenanjung Malaysia, seperti berikut:

a. meningkatkan kadar pengecualian cukai pendapatan di bawah taraf perintis daripada 85 peratus kepada 100 peratus; dan

b. meningkatkan kadar elaun cukai pelaburan daripada 80 peratus kepada 100 peratus. Elaun tersebut juga dibenarkan ditolak keseluruhannya dan tidak dihadkan kepada 85 peratus daripada pendapatan statutori.



v. Mengecualikan pendapatan yang diremit dari luar negara oleh individu daripada cukai pendapatan seperti yang kini dinikmati oleh syarikat. Langkah ini di harap dapat menggalakkan individu membawa balik pendapatan mereka yang diperoleh dari pelaburan atau simpanan mereka di luar negara untuk dilaburkan di dalam negara.



Untuk menggalakkan lagi perkembangan syarikat modal teroka swasta, dana modal teroka bagi Malaysian Venture Capital Management (Mavcap) akan ditambah sebanyak RM300 juta, menjadikan jumlah keseluruhan di bawah Mavcap sebanyak RM800 juta. Di samping itu, kerajaan juga telah menubuhkan Malaysian Debt Venture (MDV) dengan dana sebanyak RM650 juta serta Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) yang mempunyai dana modal teroka sebanyak RM1 bilion ringgit untuk membiayai pelaburan dalam bidang-bidang lain seperti industri logistik dan pemodenan pertanian.



Kerajaan juga telah memberikan potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan dalam syarikat teroka dengan syarat pelupusan saham dalam syarikat teroka dibuat melalui initial public offering (IPO). Bagi menambah baik galakan ini, pelupusan tersebut boleh juga dibuat melalui exit mechanism yang lain yang diluluskan seperti put option dan management buyout.



Satu lagi syarat yang akan dilonggarkan ialah berkaitan dengan kaedah pengiraan 70 peratus pelaburan dalam syarikat teroka. Pengiraan ini akan hanya mengambil kira nilai dana yang dilaburkan dan bukannya jumlah keseluruhan dana yang dimiliki oleh syarikat modal teroka.



Di samping itu, kerajaan juga mencadangkan supaya syarikat pengurusan modal teroka diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan yang diterima daripada pembahagian keuntungan dengan syarikat modal teroka.


Menggiatkan Lagi Sektor Perkhidmatan

Sektor perkhidmatan adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan perolehan tukaran asing negara. Potensi pertumbuhan pelbagai sumber di sektor ini untuk menghasilkan perkhidmatan bernilai tambah tinggi, masih belum dieksploitasikan sepenuhnya, terutamanya perkhidmatan berkaitan pembuatan, pendidikan, pelancongan, pengangkutan dan logistik serta ICT.

Memandangkan selama ini, aliran masuk FDI tertumpu sebahagian besarnya ke sektor pembuatan, kita harus berusaha untuk menarik FDI ke sektor perkhidmatan, terutamanya yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi. Sebenarnya, kerajaan telah banyak menyediakan insentif untuk menarik FDI bagi aktiviti yang mempunyai value creation. Dalam Pakej Strategi Baru, kita telah melonggarkan lagi syarat pegangan ekuiti asing di samping menyediakan lebih banyak lagi insentif cukai untuk menarik syarikat berorientasi perkhidmatan seperti Ibu Pejabat Operasi (OHQs), Pusat Pengedaran Serantau (RDCs) dan back-room outsourcing operations oleh syarikat multinasional (MNCs) untuk beroperasi dari negara kita.



Multimedia Development Corporation (MDC) sebagai one stop shop untuk pelaburan di MSC telah berjaya menarik banyak syarikat tempatan dan asing untuk melabur dalam bidang ICT. Bagi syarikat yang telah diberi status MSC, kerajaan memberi 10 jaminan di bawah bill of guarantees, termasuk menyediakan infrastruktur maklumat, memberi kebebasan hak milik dan memperoleh sumber dana serta pengambilan tenaga kerja berpengetahuan tanpa sekatan kerakyatan.



MDC telah berjaya menarik serta mendorong syarikat untuk menyediakan kemudahan perkongsian perkhidmatan bersama atau shared services, terutamanya bagi perkhidmatan sokongan IT untuk operasi global mereka seperti pusat maklumat dan pusat pemprosesan data. Yang terkini ialah syarikat Ericsson yang telah menubuhkan ibu pejabatnya, sementara HSBC dan Standard Chartered Bank yang merupakan antara institusi perbankan dan kewangan terkemuka di dunia, telah menubuhkan pejabat memproses data elektronik yang akan memberi perkhidmatan back-end processing and customer contact services kepada kumpulan mereka di seluruh dunia. Syarikat Shell yang merupakan salah sebuah syarikat terbesar petroleum di dunia, dan juga DHL telah mewujudkan perkhidmatan yang sama di MSC. Aktiviti ini juga telah berjaya menambahkan peluang pekerjaan profesional berkelayakan tinggi kepada rakyat Malaysia.



Bagi menggiatkan lagi sektor perkhidmatan, sudah tiba masanya, kita mewujudkan one-stop agency yang bertanggungjawab untuk memegang tangan dan menuntun pelabur bagi mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak supaya projek mereka dapat dilaksanakan segera. Memandangkan kepada kejayaan MDC dalam membangunkan MSC, kerajaan akan memperluaskan peranannya untuk menjadi one-stop agency ala Mida bagi sektor perkhidmatan terpilih. Kita yakin MDC akan dapat melaksanakan peranan barunya ini dengan berkesan.



Bagi subsektor kewangan pula, ia adalah satu daripada komponen utama sektor perkhidmatan yang menyumbang sebanyak 14.5 peratus kepada KDNK. Sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan serantau, kerajaan akan membenarkan syarikat-syarikat luar pesisir Labuan untuk menubuhkan pejabat pemasaran mereka di Johor Bahru, iaitu kawasan yang pesat membangun dengan bertambahnya bilangan MNCs yang telah menempatkan operasi mereka pada masa ini. Langkah ini juga akan membantu usaha kerajaan untuk menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Lapangan Terbang Senai sebagai hub logistik antarabangsa.



Untuk menambah baik insentif kepada OHQ, kerajaan mencadangkan pendapatan OHQ yang diperolehi daripada penyediaan perkhidmatan kepada syarikatnya di Malaysia diberikan pengecualian cukai pendapatan tidak melebihi 20 peratus daripada keseluruhan pendapatan yang diperolehi daripada operasi globalnya. Insentif ini adalah sama seperti galakan yang dinikmati oleh RDC pada masa ini.



Meletakkan Industri Tempatan Ke Persada Dunia



Walaupun eksport negara begitu tinggi, tetapi tumpuan kini harus diberi kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh pengusaha tempatan untuk pasaran tempatan dan eksport. Sesungguhnya, jika kita sendiri tidak berminat mengguna barangan buatan atau perkhidmatan kita, maka tentulah sukar bagi pengusaha atau peniaga kita memasarkan produk mereka di luar negeri. Usaha untuk membangunkan produk tempatan yang berpotensi untuk dieksport perlu dijadikan agenda penting negara. Untuk melariskan lagi produk tempatan, sebuah Tabung Pembangunan Dan Mempromosi Jenama Malaysia telah ditubuhkan dengan dana permulaan sebanyak RM100 juta. Kerajaan bersetuju menambah RM100 juta lagi.



Dalam usaha meningkatkan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan, kerajaan dan sektor swasta mesti bersama menambah penggunaannya untuk mengukuhkan lagi pasaran asas produk tempatan. Di negara lain, mereka telah menggunakan pasaran tempatan sebagai asas membantu industri tempatan melonjak ke pasaran global. Seharusnya, kita mencontohi negara ini agar dapat menjayakan industri tempatan kita.



Sebagai langkah untuk menggalakkan industri berat tempatan, kerajaan akan terus memberi sokongan supaya apa yang telah dibangunkan setakat ini akan terus berjaya. Sejak bulan Februari 2003, jualan kereta penumpang telah berkurangan, kemungkinan disebabkan pengguna menangguhkan pembelian dengan harapan apabila sektor automotif dibuka di bawah Afta, pengguna akan berpeluang membeli kereta import dengan harga yang lebih rendah. Kerajaan telah membayangkan bahawa harga kereta tidak akan turun, walaupun selepas duti import ke atas kereta dari negara Asean dikurangkan. Sebenarnya, untuk menangani pengurangan hasil, kerajaan bercadang untuk mengenakan duti eksais ke atas kereta yang diimport pada 1 Januari 2004. Oleh yang demikian, belilah kereta yang sesuai untuk anda dan keluarga sekarang.



Sistem perolehan kerajaan juga akan dikaji semula. Pada masa ini, penilaian tawaran tender kerajaan memberi tumpuan kepada dua syarat, iaitu teknikal dan kewangan. Bagi membantu pengusaha tempatan menjadikan pasaran tempatan sebagai pasaran asas mereka, penggunaan kandungan dan nilai tambah tempatan akan diberikan pertimbangan sewajarnya dalam penilaian tender kerajaan.



Kerajaan berpendapat agenda untuk menggiatkan industri tempatan ini amat penting sekali. Oleh itu, kerajaan akan meminta Tenaga Nasional, Telekom, Proton dan Petronas, serta syarikat-syarikat milik Khazanah serta PNB dan syarikat lain milik kerajaan, untuk menerajui pembangunan produk dan teknologi tempatan dalam sektor mereka. Syarikat-syarikat ini seharusnya menggunakan pasaran tempatan dan global network serta dana mereka, agar dapat mewujudkan industri tempatan yang boleh bersaing di persada antarabangsa. Sistem vendor dan payung akan dikaji semula selaras dengan dasar baru ini.



Harapan kerajaan ialah supaya syarikat swasta tempatan menyambut cabaran untuk berusaha ke arah membangunkan industri tempatan ke persada dunia. Dalam hubungan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membantu mereka mencapai matlamat ini, termasuk pembangunan R&D, penyediaan dana, peningkatan usaha promosi dan pemasaran, penyediaan perkhidmatan logistik serta memperbaiki delivery system sektor awam, sejajar dengan konsep sovereign competitiveness.



Kerajaan juga tidak lupa janji-janji Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971, antaranya termasuk mewujudkan Masyarakat Komersial dan Industri Bumiputera atau BCIC bagi memberi peluang kepada Bumiputera untuk berjaya sebagai usahawan. Dasar ini telah dapat melahirkan ramai usahawan dan tokoh korporat Bumiputera. Namun demikian, krisis kewangan lalu telah menjejaskan mereka. Inilah antara agenda DEB yang masih belum selesai. Oleh yang demikian, kerajaan melalui syarikat miliknya akan menggiatkan lagi usaha ke arah mencapai matlamat ini, terutamanya melalui sistem vendor dan payung yang akan diubahsuai.



Dalam hal ini, kita menentang sekeras-kerasnya agenda pembukaan pasaran yang berkaitan dengan isu perolehan kerajaan (Government procurement) yang sedang dibincangkan di forum WTO di Cancun. Barat sekali lagi menggunakan WTO untuk menegakkan agenda penjajahan ekonomi mereka. Sekiranya kita tidak menentang agenda ini, maka usaha kita untuk melaksanakan Dasar Pembangunan Nasional yang mengambil kira kepentingan pengusaha tempatan, termasuk Bumiputera serta matlamat untuk menggiatkan industri tempatan tidak akan tercapai.



Untuk menjadi sebuah negara yang boleh mengeluarkan produk yang berkualiti dan mampu bersaing di pasaran global, kita perlu mempunyai teknologi, paten, produk dan jenama yang bersesuaian. Selain dari membangunkan teknologi, paten, produk dan jenama kita sendiri, kita juga boleh memperolehnya dari luar negara. Sehubungan ini, dalam industri automotif, kita telah berjaya memperoleh syarikat Lotus, sementara bagi industri aeroangkasa, kita telah miliki syarikat yang membina kapal terbang Eagle dan Lance Air (USA), yang mengeluarkan kapal terbang twin dan four-seaters menggunakan bahan komposit. InventQJaya juga telah ditubuhkan untuk melahirkan masyarakat inventor bagi produk berteknologi dalam frontier baru. Baru-baru ini kita telah membeli MM Chip daripada syarikat R&D Jepun FEC Incorporated. Chip ini merupakan chip yang paling kecil di dunia berukuran 0.25 mm persegi. Kejayaan syarikat milik rakyat Malaysia telah mula terserlah seperti pereka fesyen dan kasut antarabangsa. Rakyat Malaysia juga berjaya memiliki London Circus yang merupakan sarkis terbesar di dunia. Demikian juga Laura Ashley, Crabtree and Evelyn dan lain-lain.



Untuk meneruskan lagi usaha membolehkan rakyat Malaysia meneroka teknologi terkini, langkah-langkah juga sedang dilaksana untuk memajukan industri aeroangkasa. Setelah berjaya melancarkan Tiungsat tiga tahun dulu, kerajaan akan melancarkan pula Razaksat. Keupayaan ini akan membolehkan kita melancarkan lebih banyak satelit, termasuk satelit low-orbit equatorial dan kemungkinan menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancaran roket. Kita juga berhasrat menghantar angkasawan anak negara pertama ke angkasa lepas. Malaysia Boleh.



Strategi Kedua: Konsolidasi Fiskal

Ke Arah Bajet Berimbang



Semasa RMK-8 digubal, kerajaan telah mensasarkan pencapaian bajet berimbang pada akhir rancangan tersebut, iaitu pada tahun 2005. Walau bagaimanapun, berikutan daripada kemerosotan ketara sektor swasta akibat krisis kewangan serantau, persekitaran luar yang tidak menentu, termasuk peristiwa 11 September, pergolakan di Timur Tengah, pencerobohan di Iraq dan wabak SARS, kerajaan terpaksa melaksanakan beberapa pakej rangsangan bertujuan menggiatkan aktiviti ekonomi domestik bagi menghindar ekonomi negara dari mengalami kemelesetan. Ini menyebabkan bajet berimbang tidak dapat dicapai pada tahun 2005. Kerajaan bertekad untuk mencapai bajet berimbang dalam tempoh terdekat dengan melaksanakan langkah konsolidasi fiskal. Namun demikian, kedudukan akaun sektor awam menunjukkan trend yang masih kukuh di mana defisit sektor awam adalah di paras 1.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2003, jauh lebih rendah daripada paras yang ditetapkan bagi kawasan Euro iaitu tiga peratus. Peningkatan defisit sektor awam adalah disebabkan oleh pelaburan yang lebih besar oleh Petronas dalam tahun 2003.



Perbelanjaan kerajaan akan dikhususkan, terutamanya bagi menyediakan infrastruktur yang lebih efisien untuk mengurangkan kos kendalian perniagaan dan membantu pertumbuhan ekonomi negara. Peruntukan juga disediakan untuk terus melaksanakan program bagi memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi rakyat. Dalam hubungan ini, tumpuan akan diberi kepada program untuk menyedia dan menyalurkan produk dan perkhidmatan sosial bagi memastikan ianya dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.



Untuk memastikan pengagihan sumber kewangan kerajaan yang lebih berkesan, peruntukan kepada agensi kerajaan akan diasaskan kepada kedudukan kewangan mereka. Bagi agensi yang memiliki rizab tinggi yang tidak terikat, mereka hendaklah menggunakan rizab tersebut untuk membiayai program mereka.



Memperkemaskan Penyediaan Dan Pelaksanaan Bajet



Untuk mengemaskan penyediaan bajet, kerajaan telah melaksanakan penyediaan dan pemeriksaan bajet dua tahun semenjak Bajet 2002. Proses ini telah dapat menyediakan satu bajet yang mengambil kira keperluan semasa dan tahun berikutnya sebagai rolling plan. Ianya juga telah dapat menyelamatkan masa dan mengurangkan guna tenaga serta memberi masa kepada agensi untuk menumpukan juga kepada usaha pelaksanaan.



Pelaksanaan bajet dua tahun telah dapat memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan, di mana agensi pelaksana diberi lead time dalam perancangan projek. Proses ini telah dapat mempercepatkan lagi pelaksanaan projek pembangunan di mana peruntukan dibelanjakan tanpa sebarang shortfall seperti di masa-masa lepas.



Peruntukan Bajet 2004



Selaras dengan dasar konsolidasi fiskal, Kerajaan mencadangkan sejumlah RM112.5 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2004. Ini adalah pengurangan sebanyak 1.6 peratus, berbanding peruntukan terkini sebanyak RM114.3 bilion dalam tahun 2003. Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak RM95.6 bilion, defisit akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan kepada 3.3 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2003.



Sebahagian besar peruntukan yang dicadangkan iaitu RM80.5 bilion atau 71.6 peratus adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM30 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk simpanan luar jangka.



Di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM20.9 bilion adalah untuk emolumen, RM17.2 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan, RM39.4 bilion untuk kenaan bayaran tetap dan pemberian, RM 0.8 bilion untuk pembelian kelengkapan serta kemudahan pejabat dan RM2.2 bilion bagi perbelanjaan lain.



Daripada jumlah perbelanjaan pembangunan yang dicadangkan, sebanyak RM13.8 bilion atau 43.1 peratus adalah untuk sektor ekonomi, infrastruktur, perindustrian, bekalan elektrik dan air luar bandar. Sebanyak RM11.2 bilion atau 34.9 peratus disediakan bagi sektor sosial untuk projek-projek pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, pembangunan masyarakat, belia dan sukan. Seterusnya, RM2.7 bilion atau 8.4 peratus diperuntukkan bagi projek-projek pembangunan di sektor keselamatan dan RM4.3 bilion atau 13.6 peratus diperuntukkan bagi pentadbiran am.





Pendidikan



Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada sektor pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM20.2 bilion, yang adalah satu perempat daripada peruntukan perbelanjaan mengurus 2004. Di antara institusi pendidikan yang dijangka mula beroperasi, termasuklah 44 sekolah rendah dan 43 menengah serta tiga sekolah teknik dan 59 asrama. Selaras dengan Pakej Strategi Baru, empat pejabat promosi pendidikan akan beroperasi mulai tahun ini di Dubai, Ho Chih Minh, Beijing dan Jakarta.



Di bawah perbelanjaan pembangunan, sejumlah RM3.7 bilion disediakan, termasuk RM1.8 bilion bagi sekolah rendah, menengah, asrama dan rumah guru. Sebanyak RM637 juta disediakan untuk projek pengkomputeran sekolah sementara RM490 juta bagi membiayai keperluan infrastruktur institusi pendidikan tinggi awam.



Pada tahun lalu kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan ICT. Program ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5 bilion bagi tempoh RMK-8. Kerajaan juga akan roll-out program smart school secara berperingkat-peringkat dan melaksanakan projek Schoolnet bagi membolehkan pelajar mendapat akses internet. Program akses internet ini telah pun dilaksanakan di hampir 200 buah sekolah di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.



Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan semua anak-anak mendapat pendidikan wajib sekurang-kurangnya di peringkat asas, satu Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin telah dilancarkan pada 23 Julai 2003. Dana berjumlah RM200 juta diperuntukkan bagi kumpulan wang ini untuk membantu pelajar miskin meneruskan pendidikan di sekolah.



Dalam usaha kerajaan untuk memantapkan kualiti dan standard program pendidikan francais, pihak Lembaga Akreditasi Negara dari masa ke semasa menjemput tenaga pengajar atau pakar dari IPTA atau IPTS untuk membantu menjalankan validasi, moderasi atau akreditasi program tersebut untuk menjamin kursus yang ditawarkan mempunyai kualiti yang sama dengan yang ditawarkan di universiti luar negara. Bagi tujuan ini, kerajaan mencadangkan supaya fi atau honorarium yang diperoleh oleh tenaga pengajar atau pakar yang membantu dalam proses validasi, moderasi atau akreditasi dikecualikan daripada cukai pendapatan.



Bagi meringankan beban kewangan graduan untuk membayar balik pinjaman kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan akan mengurangkan kadar faedah pinjaman daripada empat peratus kepada tiga peratus. Jadual bayaran balik akan bermula hanya pada tahun ketiga graduan bekerja. Kadar bayaran balik bulanan juga akan disusun semula secara berperingkat, di mana peminjam dikehendaki membayar balik dengan kadar lima peratus daripada pendapatan bulanan bagi lima tahun pertama dan 10 peratus bagi baki tempoh pembayaran balik. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada peminjam di bawah Tabung Pembangunan Kemahiran. Di samping itu, pelajar yang ingin melanjutkan pengajian Islam di institusi pendidikan luar negara, mereka boleh memohon pinjaman dari PTPTN dengan syarat institusi tersebut diiktiraf oleh kerajaan dan mereka juga secara wajib perlu mengambil subjek akademik. Mereka perlu memiliki kelayakan yang diiktiraf oleh kita. Pembiayaan ini tidak melebihi kos pengajian yang sama di dalam negeri. Kerajaan juga akan menimbangkan memberi pinjaman kepada pelajar yang mengikuti pelajaran luar negara di bawah program berkembar bagi tahun terakhir pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan serta kursus yang digalakkan.



Latihan Kemahiran















Pembangunan industri berasaskan teknologi dan pengetahuan memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih. Bagi tujuan ini, kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti dan kuantiti tenaga kerja mahir dengan menambahkan lagi kemudahan di pusat latihan kemahiran, di samping membina pusat latihan baru. Peruntukan sejumlah RM319 juta disediakan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi tujuan ini. Dengan beroperasinya 10 buah institusi latihan baru, KSM akan berupaya melatih seramai 17 ribu pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran. Selain itu, sebanyak RM245.5 juta diperuntukkan bagi menambah kemudahan serta membina 25 buah Institut Kemahiran Belia Negara yang akan melatih seramai 11 ribu pelatih. Peruntukan sebanyak RM77.5 juta akan disediakan untuk menyiapkan 14 projek sedia ada serta membiayai tiga projek baru dan sebanyak 107.3 juta ringgit disediakan bagi membiayai kos pengurusan Institut Kemahiran Mara.



Selaras dengan keperluan untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran untuk memenuhi keperluan pasaran, kerajaan telah mengumumkan Tabung Pembangunan Kemahiran dalam Pakej Strategi Baru dan RM500 juta diperuntukkan bagi membantu pelatih institusi kemahiran mendapatkan pinjaman seperti Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara, Institut Kemahiran Belia Negara dan institusi swasta yang terpilih. Untuk menguruskan Tabung ini, sebuah agensi khusus ala PTPTN akan ditubuhkan. Syarat pinjaman tabung ini adalah sama seperti PTPTN iaitu pada kadar faedah pinjaman sebanyak tiga peratus. Jadual dan kadar bayaran balik bulanan akan dibuat secara berperingkat.



Untuk meningkatkan lagi kemudahan latihan teknikal, Pusat Latihan Kejuruteraan Mesin Computer Numerically Controlled (CNC) telah ditubuhkan di Technology Park Malaysia. Pusat ini memberi latihan khusus mengenai penggunaan dan reka bentuk mesin CNC untuk kegunaan pelbagai industri, terutama industri komponen dan alat ganti. Latihan ini akan dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang CAD/CAM/CAE.



Selain daripada institusi latihan di atas, kolej komuniti akan juga menyediakan latihan kemahiran vokasional. Untuk menambahkan lagi peluang mendapatkan latihan kemahiran, pusat-pusat Giat Mara akan ditingkatkan sebagai kolej komuniti yang memberi penekanan kepada latihan vokasional. Syarikat milik kerajaan seperti TNB dan Telekom diminta mengadakan latihan teknikal dan vokasional di pusat latihan mereka. Peserta yang mengikuti latihan ini boleh mendapatkan pinjaman dari Tabung Pembangunan Kemahiran. Di samping itu, untuk menggalakkan majikan mengambil graduan menganggur yang berdaftar dengan Unit Perancang Ekonomi (UPE), kerajaan mencadangkan perbelanjaan yang ditanggung oleh majikan bagi menggaji graduan ini, diberi potongan cukai dua kali untuk tempoh 2 tahun. Bagi graduan menganggur yang memerlukan latihan semula, mereka boleh mendapatkan pembiayaan di bawah Tabung Latihan Semula di bawah Pakej Strategi Baru.



Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)







Dasar Sains dan Teknologi Negara yang kedua digubal untuk mencapai perbelanjaan R&D sekurang-kurangnya 1.5 peratus daripada KDNK menjelang 2010. Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kepakaran tenaga manusia dan kemudahan R&D. Bagi meneruskan usaha ini, sebanyak RM183.6 juta disediakan untuk program R&D, termasuk 84.5 juta ringgit untuk program Intensification of Research in Priority Areas (Irpa) yang dikhususkan bagi institusi penyelidikan awam dengan kerjasama swasta. Di samping itu, tiga institusi penyelidikan baru akan ditubuhkan di BioValley, Cyberjaya khusus dalam bidang bioteknologi. Kerajaan juga akan menggalakkan syarikat besar untuk bertapak di BioValley bagi menjalankan contract research sebagai satu sumber industri perkhidmatan.



Usaha R&D negara telah banyak memberi sumbangan kepada peningkatan hasil pengeluaran komoditi, terutamanya kelapa sawit dan getah. Hasil sehektar komoditi ini telah meningkat berlipat ganda dan tempoh matang tanaman telah dapat disingkatkan. Selain dari meningkatkan hasil tanaman, institusi penyelidikan telah juga banyak menjalankan penyelidikan hiliran seperti biodisel dari kelapa sawit dan termoplastik getah.



Memandangkan sumbangan sektor komoditi kepada ekonomi negara telah banyak berkurangan, tibalah masanya, institusi R&D negara mengorientasi usaha mereka ke arah demand and market driven R&D yang memberi tumpuan kepada nilai ditambah atau value creation yang menjurus kepada pengkomersialan hasil penyelidikan. Misalnya, pasaran global bagi barangan dan perkhidmatan healthcare dan life-sciences dijangka akan mencapai 4 trilion euro, sementara farmasutikal 30 bilion euro menjelang 2006. Di Malaysia, industri bioteknologi masih merupakan infant industry. Walaupun kini terdapat lebih kurang 60 syarikat bioteknologi di negara ini, mereka merupakan syarikat kecil yang belum mencapai taraf world-class.



Kerajaan akan menyusun semula Sirim agar institusi ini menjadi focal-point bagi usaha match making antara R&D dan permintaan pasaran. Mereka akan mengenal pasti permintaan pasaran tempatan dan dunia mengenai produk dan teknologi baru. Mereka juga perlu mengkaji keseluruhan value chain R&D untuk mewujudkan nilai ditambah, termasuk niche activities yang perlu dibangunkan, seperti logistik, pembungkusan dan juga pemasaran.



Kerajaan melalui Sirim akan mengenal pasti R&D yang diperlukan berasaskan kepada permintaan pasaran dan dipadankan dengan kapasiti R&D di universiti serta institusi penyelidikan. Untuk ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi kerana ini adalah pelaburan jangka panjang dalam usaha membangunkan teknologi tempatan untuk mengeluarkan produk berkualiti tinggi berjenama Malaysia. Sesungguhnya, negara mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk melaksanakan R&D selaras dengan permintaan pasaran. Sebagai contoh, kita mempunyai lebih satu ribu graduan doktor falsafah, di samping kemudahan dan sumber pembiayaan R&D yang mencukupi.



Untuk menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan, kerajaan mencadangkan pendapatan yang diperoleh oleh penyelidik daripada aktiviti tersebut diberi pengecualian cukai sebanyak 50 peratus untuk tempoh lima tahun. Di samping itu, kerajaan tidak akan mengenakan caj ke atas pendaftaran paten oleh penyelidik tempatan.







Pelancongan







Sektor pelancongan negara, terutamanya pengusaha hotel dan agensi pelancongan telah terjejas dengan ketara berikutan peperangan di Iraq dan wabak SARS. Untuk membantu mereka menghadapi masalah ini, kerajaan telah melaksanakan langkah segera melalui Pakej Strategi Baru, umpamanya menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan agensi pelancongan, memberi diskaun elektrik kepada pengusaha hotel dan menyediakan special relief guarantee facility bagi mengurangkan beban kewangan peminjam di sektor pelancongan.



Bagi menggalakkan pengusaha industri pelancongan, termasuk hotel, untuk melaksanakan program pembesaran, pemodenan dan pengubahsuaian, kerajaan mencadangkan supaya galakan taraf perintis atau elaun cukai pelaburan diberikan bagi kali kedua.



Dalam pada itu, semua pengusaha hotel harus bergabung dan mewujudkan pusat maklumat pelancongan di semua pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang serta stesen kereta api utama bagi membolehkan pelancong membuat tempahan bilik hotel pelbagai bintang semasa ketibaan. Selain daripada itu, mereka juga digalak menyediakan kemudahan tempahan secara on-line. Kerajaan akan membangunkan portal bagi tujuan ini dan akses kepada portal ini akan disediakan di lapangan terbang, stesen kereta api dan perhentian bas utama di seluruh negara.



Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan promosi pelancongan yang lebih berkesan bersama Syarikat Penerbangan Malaysia dan AirAsia serta agensi pelancongan swasta. Bagi tujuan ini, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) akan disusun semula untuk memastikan semua program pemasaran dan komunikasi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan. Di samping itu, fokus akan diberikan kepada pasaran serantau, khususnya China, Taiwan, Hong Kong, India dan negara Asean. Usaha promosi akan dilipat gandakan di pasaran Asia Barat serta pasaran baru yang berpotensi seperti Pakistan, Indo-China dan New Zealand. Sehubungan itu, sebanyak RM215 juta akan disediakan untuk aktiviti promosi.



Kerajaan juga telah menyediakan dana sejumlah RM1.1 bilion, iaitu RM400 juta di bawah Tabung Khas Pelancongan dan RM700 juta di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan. Kedua-dua Tabung ini diuruskan oleh Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (BPIMB). Dalam hubungan ini, keutamaan akan diberi bagi membiayai pembangunan produk baru pelancongan. Bagi meningkatkan keberkesanannya, kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan memantau pelaksanaan dari segi kelulusan dan pengeluaran dana tersebut.



Malaysia Truly Asia. Slogan ini bukan saja menggambarkan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan budaya, malahan mempunyai beraneka juadah yang telah menjadi tarikan kepada pelancong. Kita mempunyai Bintang Walk, Bangsar Baru dan Mon't Kiara di mana pelancong menghabiskan masa bersantai di sepanjang deretan sidewalk cafes dan menjadi happening place. Dalam pada itu, kita harus juga memberi tumpuan kepada penjaja kecil supaya gerai mereka sentiasa menarik, bersih dan hygienic. Untuk itu, kerajaan menyediakan kemudahan mikro kredit bagi mereka mengganti gerai usang atau membeli kereta sorong baru yang diperbuat daripada aluminium atau stainless steel, kanopi berwarna dan kerusi meja yang lebih sempurna ala Bintang Walk. Penjaja hendaklah menggunakan gerai atau kereta sorong yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.



Kesihatan







Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti kepada semua rakyat. Oleh itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM9 bilion, peningkatan 20.5 peratus daripada peruntukan 2003. Daripada jumlah ini, RM6.4 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM2.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini akan disalurkan bagi membiayai perkhidmatan rawatan perubatan yang penting seperti unit dialisis, unit rawatan intensif serta program untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti di kalangan kanak-kanak. Bagi meningkatkan aktiviti pengesanan dan pengawasan serta diagnosa penyakit berjangkit seperti SARS, tuberculosis, kusta dan denggi, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3 juta.



Kos rawatan perubatan kini kian meningkat. Subsidi oleh kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan kepada semua rakyat dengan caj perkhidmatan yang paling rendah, sudah menjadi beban yang terlalu berat. Untuk meringankan perbelanjaan perubatan, kerajaan menggalakkan industri insuran kesihatan supaya memperluas liputan dengan menawarkan kos premium yang berpatutan dan mampu ditanggung oleh sebahagian besar rakyat. Syarikat-syarikat perlu membiayai rawatan kepada pekerja mereka.



Kerajaan telah membina banyak hospital yang dilengkapi dengan peralatan termoden dan canggih, termasuk penggunaan ICT bagi aplikasi Total Health Information Systems (THIS) tanpa kertas. Hospital Selayang, Serdang dan Pandan di Johor adalah jenis ini. Kerajaan tidak dapat membayar gaji yang tinggi kepada pakar perubatan. Oleh itu, kerajaan bersetuju dengan konsep private commercial wings, bagi membolehkan doktor yang sedang berkhidmat mendapat imbuhan yang setimpal dan dengan ini dapat mengekalkan mereka untuk terus berkhidmat di hospital kerajaan. Dengan langkah ini, kerajaan juga berharap dapat menarik pakar perubatan berkhidmat kembali di hospital kerajaan. Di samping itu, orang ramai yang memerlukan rawatan yang lebih baik dengan kos berpatutan boleh mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan. Langkah ini juga boleh mempromosikan hospital kerajaan di luar negara, selaras dengan objektif menggalakkan health tourism.



Penjagaan kesihatan adalah penting bagi menjamin rakyat terus sihat. Bagi meningkatkan penjagaan kesihatan, kerajaan mencadangkan duti import 10 peratus ke atas health supplements dimansuhkan. Kerajaan juga akan memastikan harga ubat terpilih diberikan diskaun kepada pesara. Dalam hal ini, Pharma Niaga akan menyediakan kaunter khas bagi penjualan ubat tersebut kepada pesara.



Di samping itu, untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat, kerajaan mencadangkan duti import dan eksais ke atas rokok dan lain-lain keluaran tembakau dinaikkan sebanyak 20 peratus, masing-masing daripada RM216 kepada RM259 sekilogram dan daripada RM48 kepada RM58 sekilogram. Peningkatan duti ke atas rokok juga adalah selaras dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO untuk mengawal penggunaan rokok. Untuk membanteras penyeludupan ke atas rokok, Kerajaan sedang melaksanakan penggunaan pelekat khas atau banderol serta dakwat keselamatan bagi memastikan rokok yang dijual bukan rokok yang diseludup.



Kerajaan juga mencadangkan duti import dan duti eksais ke atas minuman keras ditingkatkan sebanyak 10 peratus. Di samping itu, Kerajaan juga akan menggunakan banderol dan dakwat keselamatan ke atas minuman keras.



Kerajaan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua kakitangan hospital yang telah sanggup menghadapi risiko tinggi dalam memeriksa pelawat dan merawat pesakit SARS. Sungguhpun kerajaan telah memberikan imbuhan, namun wang ringgit tidak dapat membayar segala jasa dan bakti yang telah mereka curahkan. Contohilah mereka ini.



Walaupun wabak ini telah berakhir, kita mesti terus berwaspada dan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan langkah-langkah pencegahan dilaksanakan bagi mengelakkan wabak ini berulang lagi. Kerajaan juga akan menyegerakan pelaksanaan Centre for Disease Control (CDC), seperti yang diumumkan dalam Pakej Strategi Baru. Untuk ini, sebanyak RM20 juta akan disediakan.



Pembangunan Luar Bandar







Usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar akan diteruskan. Peruntukan sebanyak RM2.27 bilion disediakan untuk program pembangunan luar bandar. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM450 juta disediakan untuk membina jalan kampung bagi memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar. Bagi jalan luar bandar, sebanyak RM260 juta disediakan untuk menyiapkan 74 projek sambungan dan projek baru. Sebanyak RM267.1 juta pula disediakan bagi menyiapkan pembinaan klinik desa.



Program bekalan air dan elektrik luar bandar disediakan peruntukan masing-masing sebanyak RM225.4 juta dan RM272 juta. Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 140 ribu rumah di seluruh negara. Bagi menjamin mutu air bersih di kawasan luar bandar serta memastikan persekitaran yang bersih, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.9 juta untuk tahun 2004. Tahap liputan bekalan air telah pun mencapai 99.9 peratus di Semenanjung. Di samping itu, 242 juta ringgit diperuntukkan untuk membiayai projek bekalan air di sekolah kawasan luar bandar.



Bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, kerajaan mencadangkan cukai jalan dikecualikan ke atas motosikal berkapasiti tidak melebihi 150 c.c. Ini juga akan mengurangkan beban kewangan bagi pelajar di IPTA dan IPTS serta kumpulan belia dan anak muda. Bagi pekerja yang menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan oleh majikan, kerajaan juga mencadangkan supaya cukai jalan ke atas bas untuk pekerja dikurangkan sebanyak 50 peratus. Kerajaan berharap majikan akan memastikan pengurangan ini sampai kepada warga pekerja.



Pembangunan Sabah Dan Sarawak



Pembangunan di Sabah dan Sarawak juga diberi penekanan seperti di dalam bajet tahun-tahun lalu. Sebanyak 5.9 bilion ringgit dan 5.5 bilion ringgit diperuntukkan masing-masing kepada Sabah dan Sarawak. Dalam sektor pengangkutan, kedua-dua negeri akan mempunyai rangkaian jalan raya yang lebih luas menghubungi bandar-bandar utama. Di Sabah, apabila projek-projek dalam pelaksanaan siap, semua bandar di Sabah dapat dihubungi melalui jalan darat, tidak seperti sekarang di mana kadangkala terpaksa melalui jalan udara atau air. Di Sarawak juga, beberapa rangkaian jalan utama baru sedang dilaksanakan untuk memudahkan perhubungan bukan saja dalam Sarawak, tetapi juga di antara Sarawak dan Sabah. Kerajaan juga sedang membina jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama yang tidak selamat. Selain daripada itu, pelaksanaan projek jalan luar bandar dan jalan kampung sedang dilaksanakan dengan pesat melibatkan kontraktor tempatan pelbagai kelas.



Memandangkan Sabah dan Sarawak adalah negeri yang besar, beberapa projek pengangkutan udara dan laut sedang dilaksanakan. Selain daripada lapangan terbang Tawau, Bintulu dan Miri yang baru disiapkan yang boleh menampung pendaratan pesawat Airbus 330, Kerajaan juga akan menaik taraf Lapangan Terbang Kuching. Sementara itu, Pelabuhan Bintulu dan Kuching sedang diperbesarkan. Manakala sebuah pelabuhan baru di Semalanjau akan dibina untuk menampung keperluan industri aluminium smelting, iaitu pelaburan daripada negara Timur Tengah, yang juga akan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik dari projek Hidroelektrik Bakun.



Dalam sektor pendidikan dan kesihatan, kedua-dua negeri mendapat peruntukan yang besar bagi melaksanakan projek-projek seperti pelaksanaan Fasa 2 Universiti Malaysia Sabah dan pembinaan kampus tetap UNIMAS di Samarahan. Kerajaan telah mengambil alih Sabah Medical Centre dari pihak swasta, dan dinaik taraf untuk dijadikan sebagai sebuah hospital utama di Kota Kinabalu. Di samping itu, untuk menambah bilangan doktor dan kakitangan allied health services, hospital Kuching sedang dinaik taraf untuk menjadi hospital mengajar UNIMAS.



Bekalan air adalah satu kemudahan asas yang masih belum dapat liputan penuh di negeri Sabah dan Sarawak. Sementara menunggu projek-projek bekalan air utama dilaksanakan, Kerajaan telah melaksanakan program bekalan air luar bandar, terutama untuk sekolah-sekolah, dengan menggunakan sistem rain harvesting dan tube well. Setakat ini, hampir 700 buah sekolah di Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti untuk mendapat kemudahan ini dengan kos sebanyak RM242 juta.



Pertanian



Kerajaan akan terus memberikan penekanan ke arah memodenkan lagi sektor pertanian bagi meningkatkan, terutamanya hasil pengeluaran makanan. Bagi tujuan ini, pertanian berskala besar dan bercampur-campur, termasuk ternakan, penggunaan tanah secara intensif dan penggunaan teknologi serta pengurusan moden akan diberi galakan. Amat penting juga, rantaian nilai tambah dalam sektor pertanian seperti pemprosesan, logistik, pembungkusan, jenama dan pasaran baru disokong dan digalakkan. Untuk itu, semua komponen dalam rantaian ini, termasuk delivery system akan diperkukuhkan lagi, khususnya penyediaan cold storage chain bagi produk pertanian yang mudah rosak.



Syarikat yang menjalankan aktiviti menyediakan kemudahan dan perkhidmatan seperti ini boleh juga menggunakan dana modal teroka yang telah disediakan oleh kerajaan melalui MTDC. Di samping itu, syarikat baru yang menyediakan rangkaian perkhidmatan dan kemudahan bilik sejuk untuk hasil pertanian yang mudah rosak telah diberi Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan. Bagi menggalakkan pelaburan semula dalam bidang yang sama, kerajaan mencadangkan syarikat milik tempatan sedia ada diberi galakan berikut:



i. memberi taraf perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 70 peratus ke atas peningkatan pendapatan daripada pelaburan semula selama lima tahun; atau



ii. memberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus daripada pelaburan tambahan dalam tempoh lima tahun.



Kerajaan telah pun menyediakan Tabung Untuk Makanan berjumlah RM1.3 bilion di bawah BPM untuk membiayai aktiviti pengeluaran dan pemprosesan barangan makanan. Alhamdulillah, hampir kesemua dana ini telah pun digunakan. Memandangkan sambutan yang menggalakkan ini, kerajaan telah menambah RM1 bilion lagi di bawah Pakej Strategi Baru, menjadikan dana keseluruhan sebanyak RM2.3 bilion.



Untuk menggerakkan lagi kegiatan ekonomi desa dan membantu pengusaha kecil di kampung memajukan perusahaan mereka, Kerajaan akan menyediakan Kredit Mikro Desa berjumlah satu bilion ringgit di bawah BPM. Untuk memastikan program ini dilaksanakan secara teratur dan berkesan, Kredit ini akan disalurkan mengikut kumpulan melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK/JKKR) kepada kampung yang mempunyai program satu produk satu kampung, di bawah penyeliaan Jawatankuasa Pembangunan Daerah dan Unit Penyelarasan Dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Hasrat program ini ialah untuk memberi peluang kepada petani mengguna masa lapang untuk bekerja dan menambah pendapatan.



Peruntukan sebanyak RM3.3 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi sektor pertanian. Sebahagian besar dari jumlah ini iaitu sebanyak RM885 juta adalah bagi menyediakan kemudahan asas pertanian. Di samping itu, akuakultur akan digiatkan dengan peruntukan sebanyak 70.6 juta ringgit, sementara RM165 juta disediakan bagi pembinaan Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Bersepadu dan Pusat Latihan Perikanan di Tanjung Manis, Sarawak.



Meningkatkan Pembabitan

Orang Asli Dalam Arus Pembangunan



Kerajaan terus memberi perhatian kepada usaha meningkatkan penglibatan masyarakat Orang Asli supaya mereka juga dapat menikmati manfaat pembangunan ekonomi negara. Sebagai langkah untuk menambah pendapatan mereka, kemudahan Kredit Mikro Desa juga akan diberi untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi, termasuk pertanian dan perusahaan kecil. Di samping itu, mereka juga boleh mendapatkan kemudahan sewa beli bot dan enjin sangkut di bawah skim pembinaan bot dalam Pakej Strategi Baru. Untuk memastikan masyarakat Orang Asli berpeluang memiliki rumah yang selesa dan mampu dibeli, mereka juga akan diberi keutamaan memperoleh rumah mesra di bawah skim Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan pinjaman yang lebih mudah.



Untuk meneruskan program pembangunan masyarakat Orang Asli, peruntukan sebanyak RM156.5 juta disediakan. Di antara program yang akan dilaksanakan termasuk Rancangan Pengumpulan Semula, Penyusunan Semula Kampung dan pembangunan aktiviti ekonomi seperti latihan keusahawanan dan kemahiran. Di samping itu, untuk membantu anak-anak Orang Asli, bantuan persekolahan seperti pakaian seragam, buku teks dan tambang bas sekolah juga disediakan.



Meningkatkan Keselamatan







Sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian hijacking, piracy dan gangsterisme, termasuk kegiatan 'tonto' serta rompakan dan kecurian yang semakin membimbangkan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan persekitaran awam dan perniagaan yang selamat. Kerajaan akan meningkat dan memperkukuhkan kawalan dan penguatkuasaan. Pasukan polis akan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di seluruh negara dan dengan itu, Kerajaan akan mengkaji organisasi bahagian tertentu dalam Polis Diraja Malaysia serta meningkatkan keupayaan melalui pemberian peralatan dan latihan khas supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Selain daripada itu, kerajaan juga telah menubuhkan Angkatan Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) sebagai satu usaha untuk meningkatkan lagi keselamatan di perairan negara, seperti perairan Selat Melaka.



Bagi melindungi pegawai penguat kuasa semua agensi, mereka akan dibekalkan dengan peralatan yang sesuai semasa bertugas. Untuk menghargai jasa mereka yang terdedah kepada pelbagai ancaman, faedah dan saraan yang disediakan kepada anggota keselamatan dan keluarga mereka akan juga dipanjangkan kepada pegawai pengua tkuasa jika mereka cedera atau gugur semasa bertugas.



Bagi tahun 2004, keselamatan dalam negeri diberi peruntukan mengurus sebanyak RM4.4 bilion, manakala bagi Kementerian Pertahanan pula sebanyak RM6.5 bilion. Bagi perbelanjaan pembangunan pula, peruntukan masing-masing adalah sebanyak RM750.5 juta dan RM2.1 bilion disediakan, untuk melengkap dan memodenkan sistem pertahanan dan keselamatan negara.





Strategi Ketiga:

Dasar Kewangan Yang Mendorong

Penggunaan Dan Pelaburan swasta







Bagi mencergaskan aktiviti dalam negeri terutamanya pelaburan dan penggunaan, dasar kewangan yang lebih akomodatif telah dan akan terus dilaksanakan. Dasar ini perlu dikekalkan, terutamanya dalam suasana rejim kadar faedah yang rendah di seluruh dunia. Di samping itu, terdapat jumlah kecairan yang besar yang boleh digembleng untuk membiayai aktiviti ekonomi dalam negeri. Oleh itu, langkah perlu diambil untuk menguruskan kecairan ini supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan bagi merangsang pelaburan dan penggunaan dalam negeri.



Mempermudahkan Aksesibiliti

Pembiayaan IKS



Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu digiatkan bagi menjana aktiviti pelaburan dalam negeri. Bagi membolehkan IKS mengukuhkan peranannya, adalah penting bagi institusi kewangan menyediakan kemudahan kewangan dan kredit yang lebih accessible kepada golongan tersebut. Selain daripada kemudahan pembiayaan yang telah disediakan oleh kerajaan di bawah Pakej Strategi Baru, institusi perbankan perlu proaktif dalam pemberian pinjaman, terutamanya kepada golongan pengusaha kecil dan sederhana.



Memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap Skim Kredit Mikro dari peniaga kecil, Kerajaan akan menambahkan lagi dana sebanyak RM1 bilion di bawah BPM dan BSN.



Kerajaan juga prihatin terhadap peniaga kecil dan sederhana yang mengalami kesukaran membayar hutang dengan institusi kewangan. Di bawah Pakej Strategi Baru, Bank Negara Malaysia telah menyediakan Skim Penyusunan dan Penjadualan Semula Pinjaman bagi semua jenis pinjaman dan kemudahan kredit oleh peminjam di sektor pelancongan. Setakat ini, nilai pinjaman sebanyak RM3 bilion telah mendapat manfaat dari Skim ini.



Di samping skim ini, Kerajaan juga akan mengambil langkah untuk membantu pengusaha IKS menangani masalah hutang tak berbayar mereka dengan institusi kewangan melalui satu mekanisma ala CDRC. Bagi tujuan ini, BNM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelesaian Hutang IKS. Harapan kerajaan ialah mekanisme ala CDRC ini dapat membantu menyelesaikan hutang IKS.



Menerbitkan Bon Merdeka



Kerajaan prihatin terhadap kesan regim kadar faedah yang rendah kepada golongan yang bergantung kepada pendapatan daripada simpanan di institusi kewangan, iaitu golongan pesara yang berumur 55 tahun ke atas dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Untuk membantu mereka ini mendapat pulangan lebih baik, Bank Negara Malaysia akan menerbitkan bon bagi golongan ini secara berkala. Bon ini akan mempunyai tempoh matang selama dua tahun dengan pulangan lima peratus setahun iaitu melebihi kadar faedah simpanan. Kerajaan juga mencadangkan pulangan daripada bon tersebut dikecualikan daripada cukai pendapatan. Untuk menghargai perkhidmatan dan pengorbanan anggota beruniform yang telah bersara, terbitan bon ini akan dibuka juga kepada mereka yang telah bersara wajib.



Memperluaskan Pasaran Modal



Pasaran modal terus memainkan peranan penting dalam membiayai pembangunan ekonomi negara, terutamanya menyediakan peluang mendapatkan modal bagi syarikat-syarikat. Semenjak 2001, lebih dari RM99 bilion telah diperoleh daripada pasaran modal dalam bentuk bon dan ekuiti. Di samping itu, 13 asset-backed securities (ABS) telah diluluskan berjumlah lebih dari RM7 bilion. Prestasi pasaran modal yang memberangsangkan ini adalah hasil dari pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal serta 10 langkah memantapkan lagi pasaran modal yang diumumkan oleh Kerajaan pada bulan Mac tahun ini.



Pada masa ini, tiada layanan cukai yang khusus disediakan bagi penerbitan ABS. Sebagai langkah untuk menggalakkan penerbitan ABS, kerajaan mencadangkan supaya layanan cukai yang sama dengan penerbitan sekuriti biasa diberikan kepada ABS. Di samping itu, Kerajaan juga mencadangkan perbelanjaan berkaitan terbitan ABS diberi potongan cukai selama lima tahun.



Salah satu daripada 10 langkah yang dilaksana untuk memantapkan pasaran modal ialah menggalakkan syarikat besar disenaraikan di BSKL. Bagi tujuan ini, Felda yang bukan saja adalah sebuah syarikat perladangan terbesar di rantau ini malahan di dunia, akan disenaraikan di BSKL. Saham FELDA dijangka akan menjadi antara blue-chip di BSKL dan Felda berpotensi untuk diperkenalkan sebagai international brand. Dengan penyenaraiannya, Felda akan berupaya mendapatkan modal dari pasaran dan tidak lagi perlu bergantung kepada kerajaan untuk sumber kewangannya. Pada masa yang sama, kerajaan juga akan mendapat pulangan daripada penyenaraian ini yang juga akan memberi faedah kepada Kumpulan Felda, peneroka dan koperasi serta kerajaan negeri yang telah memberi tanah untuk dibangunkan sebagai ladang Felda. Peneroka Felda akan mendapat peluang untuk memegang ekuiti dalam syarikat yang disenaraikan, iaitu sebagai ahli dan individu.



Cadangan ini adalah selaras dengan matlamat DEB yang bertujuan membolehkan Bumiputera memiliki ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus dalam sektor korporat. Adalah diharapkan saham ini tidak dijual oleh Bumiputera.



Setelah 46 tahun merdeka, kita perlu sedar kesilapan kita ini dan berusaha membetulkannya. Sebagai langkah ke arah memperluaskan lagi peluang pelaburan khususnya kepada Bumiputera melalui saham amanah, Dana Saham Amanah Kedua iaitu Dana Harapan (HARAPAN) akan ditubuhkan. Dana ini akan diuruskan oleh pengurus dana profesional serta berpengalaman dan akan menggembleng tabungan dan modal Bumiputera.



Kerajaan juga mempunyai banyak aset yang bernilai tinggi yang masih belum digunakan sepenuhnya. Bagi memaksimumkan pulangan, Kerajaan akan mengambil langkah untuk unlock aset ini supaya ia secara langsung akan menambah kewangan kerajaan, di samping memberi peluang kepada pihak tertentu mengguna aset-aset ini untuk menjana pulangan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.



Memperkembangkan Sistem

Kewangan Islam



Sejak perbankan Islam diperkenalkan pada tahun 1983, ia telah membuka satu lembaran baru dalam sistem kewangan negara. Kini, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai sistem kewangan Islam yang komprehensif. Bermula dengan hanya sebuah Bank Islam, kini negara mempunyai dua Bank Islam dan 33 bank biasa yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam. Perkembangan sistem perbankan Islam telah juga menjadi pemangkin kepada perkembangan pesat sistem kewangan Islam yang merangkumi perbankan, insuran dan pasaran modal. Aset keseluruhan sistem perbankan Islam telah meningkat hampir empat kali ganda kepada RM68 bilion dalam tahun 2002 daripada RM17.9 bilion dalam 1997.



Industri insurans Islam atau takaful telah muncul sebagai satu lagi industri kewangan Islam yang berkembang pesat sejak mula diperkenalkan pada tahun 1986, dengan jumlah asetnya meningkat daripada RM200 juta kepada RM4 bilion pada tahun ini. Manakala Sekuriti Hutang Swasta (PDS) Islam telah mula mendapat sambutan yang menggalakkan dengan nilai terbitan melebihi RM34 bilion semenjak tahun 2001. Nilai aset bersih saham amanah Islam juga telah meningkat lebih dua kali ganda kepada RM4.3 bilion.



Di peringkat antarabangsa, Malaysia adalah negara terulung di dunia yang menerbitkan bon global Islam Sukuk Al-Ijarah berjumlah AS$600 juta yang mendapat lebihan langganan sebanyak dua kali ganda. Di samping itu, satu lagi pencapaian ketara ialah penubuhan Islamic Financial Services Board di Kuala Lumpur untuk memastikan kestabilan dan kekukuhan industri kewangan Islam global. Dengan pencapaian ini, Malaysia kini menjadi model dalam perkembangan sistem kewangan Islam, terutama di kalangan negara Islam di dunia.



Sebagai langkah untuk meningkatkan pembiayaan melalui penerbitan sekuriti Islam, kerajaan mencadangkan layanan cukai yang lebih komprehensif disediakan sama seperti sekuriti konvensional. Di samping itu, galakan potongan cukai diberikan juga ke atas perbelanjaan menerbitkan sekuriti Islam menggunakan prinsip Istisna' untuk tempoh lima tahun, di mana aset-aset hartanah dalam pembinaan boleh dijadikan sandaran.



Untuk menggalakkan syarikat dan institusi kewangan yang mematuhi prinsip Syariah membuat pelaburan di Labuan, kerajaan mencadangkan syarikat luar pesisir Labuan diberi rebat cukai yang bersamaan dengan jumlah zakat yang telah dibayar, tertakluk kepada had maksimum RM20,000 atau tiga peratus dari keuntungan bersih.



Strategi Keempat:

Mengukuhkan Lagi Daya Saing Negara







Langkah kerajaan berserta dengan inisiatif sektor swasta yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan efisiensi dan produktiviti, telah mengukuhkan lagi daya saing negara. Berasaskan kepada laporan World Competitiveness Year Book 2003, kedudukan daya saing kita di kalangan negara yang mempunyai penduduk dua puluh juta ke atas, telah meningkat dengan ketara kepada tangga ke empat dari ke enam pada tahun 2002, dan ke-10 pada tahun 2001. Kedudukan ini ialah selepas Amerika Syarikat, Australia dan Kanada. Ini mencerminkan negara mampu bersaing di pasaran antarabangsa, berkat hasil usaha Kerajaan dan sektor swasta sejak dua dekad yang lalu.



Penggunaan IT kini telah menjadi sebahagian daripada keperluan perniagaan, terutamanya bagi high speed internet access untuk membolehkan negara menjadi lebih kompetitif. Di samping itu, ramai rakyat, terutamanya generasi muda yang cenderung dan berminat melayari internet bagi menimba ilmu dan mendapatkan maklumat semasa. Bagi memastikan semua pihak mempunyai akses internet pada kos yang rendah, Telekom Malaysia akan mengurangkan caj laluan internet. Di samping itu, pengurangan ini akan menggalakkan aktiviti e-perdagangan melalui akses yang lebih luas dan murah dengan penggunaan broadband internet. Telekom Malaysia akan memberi diskaun 50 peratus bagi pakej perusahaan dan korporat, bermula dengan 30 peratus pada peringkat pertama dan 20 peratus lagi pada peringkat kedua. Manakala bagi pengguna yang lain, pengurangan 30 peratus diberikan kepada consumer broadband internet charges.



Untuk memastikan perkhidmatan internet yang lebih luas dan efisien, Jaring akan digabungkan dengan TMNet. Memandangkan Cyberjaya akan dijadikan sebagai hub perkhidmatan terpilih, accessibility dan kualiti perkhidmatan broadband akan dipertingkatkan sementara kos perkhidmatan akan dikurangkan pada paras yang lebih kompetitif berbanding dengan negara-negara lain.



Untuk memperbaiki lagi daya saing negara, sektor swasta perlu terus berusaha untuk mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan bagi membolehkan mereka bersaing dengan pengeluar negara lain yang mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah. Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk tujuan ini, terutamanya dalam Pakej Strategi Baru. Sebagai usaha berterusan, kerajaan bercadang:



i. memberi potongan cukai sepenuhnya ke atas perbelanjaan keraian dalam mempromosi jualan, sementara potongan cukai sebanyak 50 peratus diberikan ke atas perbelanjaan keraian yang lain;



ii. menghapuskan had tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas alat ganti dan bahan guna habis bagi sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan yang akan tamat tempohnya pada 31 Disember 2003;



iii. memperluaskan potongan cukai ke atas perbelanjaan companies incorporation yang kini dinikmati oleh syarikat yang mempunyai modal dibenar sehingga RM250,000 kepada RM 2.5 juta;



iv. menghapus atau mengurangkan duti import ke atas beberapa barangan terpilih seperti bateri komputer, barangan plastik dan kayu, kepada di antara 0 dan 20 peratus daripada di antara 5 dan 30 peratus; dan



v. menghapus dan mengurangkan duti eksport ke atas beberapa barangan pertanian dan komoditi seperti ikan, buah-buahan dan beberapa galian tertentu, kepada di antara 0 dan 5 peratus daripada di antara 2.5 dan 10 peratus.



Industri media massa menjadi sektor yang semakin penting dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat berpengetahuan. Dalam hubungan ini, Kerajaan memutuskan supaya syarikat penerbitan dan percetakan tempatan diberi pengecualian duti antilambakan ke atas newsprint yang diimport bagi baki kuantiti yang tidak dapat dibekalkan oleh pengeluar tempatan. Pengecualian ini akan dapat menjadikan kos dalam industri penerbitan dan percetakan lebih kompetitif.



Strategi Kelima:

Memantapkan Lagi Agenda Sosial

Dan Masyarakat Penyayang



Sejak akhir-akhir ini, hampir setiap hari kita mendengar dan membaca berita gempar gejala sosial di media massa seperti kumpulan militan, pembunuhan kejam, penculikan, kongsi gelap, kezaliman loan shark, sumbang mahram, dadah dan penyakit HIV /AIDS. Yang lebih membimbangkan ialah gejala keruntuhan moral dan kes jenayah di kalangan remaja, terutamanya mereka yang masih di bangku sekolah. Kita kini mendengar pembunuhan yang dilakukan oleh kanak-kanak bawah umur, anak-anak muda yang lari dari rumah, peras ugut, ponteng dan gangterisme di kalangan murid sekolah.



Kalau dahulunya, kita hanya melihat kejadian seperti ini berlaku di luar negara melalui TV dan akhbar, kini ianya berlaku di depan mata kita di negara kita sendiri. Inilah gejala negatif pengaruh televisyen dan internet yang tidak terkawal yang telah mencerobohi dan merosakkan pemikiran masyarakat serta mencemari nilai murni budaya kita. Di samping itu, teknologi canggih yang sepatutnya menjadi pemangkin pembangunan telah disalahgunakan, terutamanya oleh pengeluar VCD haram untuk mengaut keuntungan bagi diri sendiri tanpa menghiraukan kesan buruk kepada masyarakat.



Kerajaan berazam untuk meningkatkan usaha membanteras gejala negatif sosial yang semakin membimbangkan di kalangan masyarakat kita, terutama golongan remaja. Selaras dengan hasrat ini, Dasar Sosial Negara telah dilancarkan berasaskan kepada pembangunan sosial yang berteraskan nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai perpaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih bersepadu, strategik dan menyeluruh bagi menangani masalah sosial melalui penubuhan 50 pusat khidmat komuniti di kawasan berisiko tinggi di mana jenayah dan masalah sosial sering berlaku. Kerajaan dengan ini menyeru agar NGO dan anggota masyarakat setempat menyumbang bersama bagi mempastikan dasar ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.



Keluarga Berharmoni

Masyarakat Berakhlak



Gejala sosial yang kian membimbangkan perlu dibendung dan diatasi segera, terutamanya di kalangan golongan remaja yang bakal menjadi pemimpin pelapis di masa hadapan. Usaha untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berakhlak dan bermoral tinggi bukan hanya tanggungjawab Kerajaan. Keluarga, terutamanya ibu bapa dan masyarakat, perlu bersama bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing membentuk golongan muda yang baik tingkah laku, mengamalkan cara hidup sihat, berdisiplin, berilmu pengetahuan dan kukuh daya pemikiran serta menghayati ajaran agama. Nilai-nilai ini akan menjadi benteng paling teguh dalam menghadapi segala masalah sosial dan seterusnya akan melahirkan sebuah masyarakat yang benar-benar berjaya dalam segala aspek kehidupan.



Mengiktiraf Peranan Wanita



Peranan wanita sebagai pembentuk keluarga bahagia dan sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara sentiasa diiktiraf. Kejayaan wanita mengimbangi dwi-peranan ini sudah terbukti dan amat dikagumi. Tanggungjawab wanita mewujudkan keluarga berteraskan baiti-jannati atau rumah ku syurga ku, bermula sejak lahirnya seorang bayi sehingga dewasa. Ibu berperanan utama dalam membentuk dan menerap nilai-nilai murni dan mulia dalam jiwa anak-anak supaya mereka membesar menjadi generasi yang berilmu dan berjasa kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Walaupun masa beralih, zaman berubah, namun akhlak mulia dan jati diri yang telah terbina sejak kecil akan menjadi benteng penghalang kepada mereka daripada terjerumus ke dalam gejala negatif sosial. Generasi inilah yang bakal menyambung cita-cita dan perjuangan memartabatkan negara. Ibu bapa perlulah memberi perhatian kepada pembentukan generasi yang berwibawa ini.



Malangnya, ada pihak yang sanggup merendahkan martabat dan maruah wanita. Ada suami yang tergamak menjatuhkan talak melalui SMS. Perkahwinan adalah satu acara yang mulia yang melibatkan semua anggota keluarga, terutama ibu bapa kedua-dua pengantin, kadi dan saksi, dan juga sahabat handai. Walaupun Islam membenar suami menceraikan isteri hanya dengan berkata demikian kepada isteri, tetapi perceraian bukanlah sesuatu yang menjadi perkara ringan. Ia harus difikir secara mendalam kerana kerap kali anak akan menjadi mangsa. Mengguna SMS tidak menunjuk penghargaan kepada institusi perkahwinan dan keluarga, termasuk anak sendiri. Lagi pun, SMS tidak selamat. Sesiapa saja boleh curi mengguna SMS untuk menghantar mesej perceraian tanpa diketahui oleh suami. Gejala sosial akibat semua ini tidak mencerminkan keperibadian Islam yang sebenar.



Ada juga pihak yang ingin mengehadkan sumbangan wanita dalam pembangunan dengan hanya membenarkan wanita menjadi guru dan pegawai kebajikan saja dan melarang wanita menjadi hakim, pentadbir Kerajaan dan menyertai pasukan keselamatan. Bagi Kerajaan Barisan Nasional, wanita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki dalam arus pembangunan negara. Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara kian meningkat dan kini melebihi 45 peratus. Dalam sejarah Islam, wanita berjuang di samping Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wa Sallam dalam peperangan, manakala di bidang perniagaan, Saidatina Khadijah telah merentasi sempadan dalam menerokai pasaran. Ingatlah, syurga di bawah tapak kaki ibu. Setiap lelaki yang berjaya, ada isteri yang membantu. Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia.



Jika diambil kira pula kurangnya penuntut lelaki di institusi pendidikan tinggi, mengehadkan peranan wanita bermakna menjadikan tenaga orang Islam berkurangan lebih dari separuh. Dengan itu, orang Islam di Malaysia akan bergantung kepada orang lain untuk segala-galanya. Janganlah kecewa apabila ini berlaku. Janganlah kerana lelaki lemah membendung nafsu, wanita disalahkan. Islam tidak meletak beban kawalan nafsu semata-mata kepada wanita.



Bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan, peruntukan sebanyak RM128.6 juta disediakan. Program yang akan dilaksanakan, termasuk latihan, bimbingan, kaunseling dan pendedahan untuk memberi keyakinan dan dorongan kepada wanita, khususnya ibu tunggal, warga tua dan orang kurang upaya.



Untuk membantu ibu tunggal di desa meningkatkan pendapatan dari perusahaan mereka, sebanyak RM100 juta dari Skim Kredit Desa akan dikhususkan bagi pinjaman kepada mereka yang mempunyai perusahaan sendiri. Ibu tunggal yang berpendapatan rendah juga akan diberi keutamaan dalam memperoleh rumah kos rendah dan sederhana rendah dari SPNB dengan diberi diskaun harga sebanyak 20 peratus.



Kerajaan telah banyak memberi galakan cukai kepada majikan untuk menubuh pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Walau bagaimanapun, respons daripada majikan swasta masih tidak menggalakkan. Kerajaan mungkin akan menjadikan penubuhan pusat ini sebagai syarat dalam development order oleh Majlis Tempatan.



Kerajaan sedar kos membesar dan mendidik anak-anak kian meningkat. Untuk membantu ibu bapa meringankan beban perbelanjaan ke atas anak-anak, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai anak dinaikkan dari 800 ringgit kepada 1,000 ringgit seorang.



Generasi Belia Warisan Bangsa

Cemerlang Sukan Harum Negara



Belia adalah generasi pewaris yang akan menyambung perjuangan membangunkan negara, perlu dilengkapkan dengan semangat jati diri yang unggul. Untuk ini, Kerajaan akan mula melaksanakan Program Khidmat Negara yang melibatkan seramai 100,000 belia. Kandungan program ini dirangka bagi meliputi latihan asas ketenteraan, pendidikan sivik, pembentukan sahsiah dan perkhidmatan sosial dengan tujuan untuk memupuk semangat kerjasama, perpaduan, integrasi nasional dan tingkah laku sihat. Bagi melaksanakan program ini, peruntukan sebanyak RM300 juta disediakan.



Kerajaan berbangga di atas kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai oleh para atlit sukan negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Terkini, perenang maraton negara adalah warga pertama Asia Tenggara berjaya merenangi Selat Inggeris. Dengan ketahanan fizikal dan kekuatan mental serta kecekalan semangat, ombak besar setinggi tiga meter dapat diharungi, air laut sesejuk air batu berjaya ditahani. Pemain badminton kita juga telah berjaya menjadi juara dan naib juara di kejohanan All England dan World Badminton Championship. Jadikan ini sebagai perangsang bagi kita merebut kembali kecemerlangan dalam bidang sukan. Pencapaian mereka ini bukan sahaja telah menambahkan lagi rekod kejayaan wira negara, bahkan membuktikan bahawa dengan disiplin, dedikasi dan semangat waja, rakyat Malaysia boleh mencapai kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun. Kejayaan ini semestinya menyemarakkan semangat dan mengukuhkan lagi keazaman untuk terus mencipta kejayaan.



Kerajaan amat berterima kasih kepada semua pihak, termasuk kerajaan negeri, sektor korporat dan NGOs yang telah memberi pelbagai hadiah kepada juara sukan negara. Saya berharap, mereka tidak terlalu terpengaruh dengan habuan ini, tetapi terus berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian mereka. Walau apa pun, bagi menghargai mereka yang mengharumkan negara dan membolehkan rakyat Malaysia to walk tall, Kerajaan akan menyediakan biasiswa untuk mereka melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara bagi membolehkan mereka menjadi coach atau pengurus dalam bidang yang mereka minati.



Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Minda cergas di badan yang sihat. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM657.9 juta disediakan kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun 2004. Kita sedang membuat persiapan rapi untuk melatih peserta negara yang akan menyertai Sukan Olimpik ke-28 di Athens, Greece. Negara juga akan sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Sukan Lasak untuk tahun ketiga.



Bagi meningkatkan lagi kegiatan riadah dikalangan orang ramai, terutamanya belia, kerajaan akan memulakan satu program untuk menyediakan kemudahan riadah sebagai satu keperluan wajib dalam semua projek pembangunan perumahan baru. Di samping itu, semua pihak berkuasa tempatan dikehendaki menyediakan kemudahan seperti taman-taman, padang permainan dan kawasan rekreasi untuk akiviti seperti jogging. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta .



Mengutamakan Golongan

Kurang Upaya





Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan kurang upaya dan mempastikan mereka juga dapat bersama menikmati dan menyertai arus pembangunan negara. Beberapa skim bantuan kewangan telah pun disediakan kepada golongan ini, termasuk bantuan kewangan pada kadar antara RM80 hingga RM350 sebulan. Sehingga pertengahan tahun 2003, seramai 122,543 orang kurang upaya telah berdaftar dan menerima bantuan sebanyak 88.5 juta ringgit.



Bagi menggalakkan orang kurang upaya terus bekerja untuk menyara diri dan keluarga, Elaun Pekerja Kurang Upaya diberikan sebanyak RM200 sebulan jika pendapatan bulanan mereka tidak melebihi RM500. Pemberian ini bertujuan untuk menampung kos pengangkutan ke tempat kerja dan lain-lain perbelanjaan. Untuk membolehkan lebih ramai orang kurang upaya yang bekerja menikmati bantuan elaun ini, Kerajaan mencadangkan had kelayakan siling pendapatan ditingkatkan dari RM500 ke RM750 sebulan.



Sebagai langkah untuk memastikan orang kurang upaya turut berpeluang mendapat pekerjaan, kerajaan telah memperuntukkan satu peratus daripada jawatan perkhidmatan awam, khusus untuk golongan ini. Di samping ini, satu unit khas akan ditubuhkan di Kementerian Sumber Manusia untuk membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan.



Kerajaan bersimpati dengan tanggungjawab berat ibu bapa kepada kanak-kanak kurang upaya dan kos yang tinggi untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah khas. Untuk membantu ibu bapa dan membela nasib anak-anak tersebut, kerajaan bercadang memberi elaun bulanan sebanyak RM25 seorang, kepada pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan menengah bagi menggalakkan anak-anak kurang upaya untuk mendapatkan ilmu. Bagi pelajar kurang upaya pendengaran di institusi pendidikan tinggi pula, pada masa ini mereka diberikan elaun bulanan sebanyak RM300 seorang. Kerajaan bercadang supaya elaun ini juga dinikmati oleh semua pelajar kurang upaya di institusi pendidikan tinggi.



Bagi semua anggota perkhidmatan awam yang mempunyai anak-anak kurang upaya, kerajaan akan membenarkan mereka bekerja mengikut flexi-hours supaya dapat memudahkan urusan kebajikan anak mereka. Kerajaan ingin mencadangkan agar sektor swasta juga menyambut dan mencontohi langkah murni ini.



Dalam Bajet 2003, kerajaan telah mengumumkan penyediaan dana sebanyak RM100 juta bagi membiayai rawatan pesakit yang menghidapi penyakit kronik. Kini, dicadangkan satu dana khas sebanyak RM10 juta khusus bagi orang kurang upaya yang menghadapi penyakit kronik.



Peluang pekerjaan bagi orang kurang upaya penglihatan seperti jurutaip, jurutrengkas dan telefonis kian berkurangan. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi kemahiran dalam bidang baru, seperti IT, fisioterapi dan lain-lain. Sehubungan dengan ini, Persatuan Orang Buta digalakkan membuka rangkaian Franchise Shops bertujuan untuk memberi lebih peluang pekerjaan kepada mereka dalam bidang keusahawanan. Mereka boleh mendapatkan pembiayaan di bawah Skim Kredit Mikro Kerajaan dan akan diberi lokasi yang sesuai bagi menubuhkan rangkaian Franchise Shops tersebut. Di samping itu, kerajaan juga akan membiayai sepenuhnya pembelian white cane dan mesin braille bagi mereka yang kurang upaya penglihatan.



Kerajaan juga bertekad untuk memastikan orang kurang upaya dapat memiliki rumah yang selesa dengan kos yang berpatutan. Bagi tujuan ini, orang kurang upaya yang berpendapatan rendah diberi keutamaan dalam memperoleh rumah kos rendah dan sederhana rendah dari SPNB dengan diberi diskaun harga sebanyak 20 peratus.



Bagi membantu mengurangkan kos pengangkutan golongan kurang upaya, Syarikat Prasarana Negara akan memberikan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan. Syarikat pengangkutan swasta digalakkan untuk memberi kemudahan yang sama. Kerajaan mencadangkan juga cukai jalan dikecualikan ke atas kereta, van dan motosikal buatan tempatan yang dimiliki oleh orang kurang upaya.



Untuk memastikan golongan ini menikmati manfaat daripada penggunaan ICT, satu Pusat Sumber Rintis ICT akan ditubuhkan di Sungai Buloh, bagi melatih orang kurang upaya penglihatan dan pendengaran memperoleh kemahiran ICT. Kerajaan akan menyediakan kemudahan ICT Enabler bagi memudahkan orang kurang upaya menggunakan ICT sebagai alat perhubungan terutamanya di zebra crossing dan semasa kecemasan seperti di lebuh raya.

Di semua bangunan Kerajaan juga akan disediakan dengan kemudahan yang bersesuaian untuk memudahkan mereka berurusan dengan jabatan kerajaan, termasuk kemudahan dalam lif. Kerajaan berharap pihak swasta mencontohi kerajaan memberi kemudahan ini kepada golongan tersebut.



Menampung Keperluan Perumahan

Kos Rendah dan Sederhana|







Kerajaan prihatin terhadap keperluan menyediakan kemudahan perumahan, terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Berasaskan kepada profil penduduk negara, terutama mereka dalam golongan umur 20 hingga 24 tahun, permintaan perumahan kos rendah dan sederhana dianggar meningkat sebanyak 500,000 unit untuk tempoh lima tahun akan datang. Untuk memastikan golongan ini mendapat peluang memiliki rumah, Kerajaan akan mengambil alih pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana, terutamanya melalui SPNB.



Bagi meringankan beban syarikat pemaju perumahan swasta, mereka akan diberi pilihan sama ada untuk melaksanakan sendiri pembinaan rumah kos rendah sebanyak 30 peratus atau menyerahkan kepada SPNB untuk melaksanakan pembinaan rumah tersebut. Namun, mereka akan dikehendaki membayar caruman sebagai timbal balas. Pencarum KWSP yang membeli rumah kos rendah yang dibina oleh SPNB, akan juga diberi kemudahan end financing melalui MBSB. Oleh kerana penyediaan perumahan kos rendah dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial kerajaan, maka kerajaan negeri akan diminta untuk mengecualikan premium tanah untuk pembinaan rumah kos rendah ini. Semua syarikat utiliti yang membekalkan kemudahan perkhidmatan seperti elektrik, air dan telefon diminta untuk hanya mengenakan kos asas saja.



Satu projek contoh berasaskan konsep baru akan dilaksanakan sebagai satu show case di atas tanah seluas 1,000 ekar milik Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di Lembah Klang untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik. Projek ini juga akan dilengkapkan dengan kemudahan pengangkutan awam, pusat ibadah, kemudahan komersial, pusat membeli-belah, kedai runcit, kemudahan riadah termasuk taman dan padang permainan, dewan orang ramai dan lain-lain kemudahan yang bersesuaian.



Bagi tahun 2004, kerajaan menyediakan sejumlah RM558.8 juta untuk pelbagai projek perumahan awam kos rendah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM484 juta adalah untuk membiayai pembinaan sebanyak 62,672 unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa kepada setinggan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bandar utama. Bakinya sebanyak RM74.5 juta diperuntukkan secara pinjaman kepada Kerajaan Negeri bagi meneruskan pembinaan sebanyak 28,541 unit rumah kos rendah.



Bagi perumahan anggota tentera, sebanyak RM418.1 juta disediakan bagi meneruskan pembinaan 2,500 unit rumah, sementara 251 juta ringgit disediakan untuk menyiapkan 44 projek perumahan bagi anggota polis. Sebanyak RM38 juta pula disediakan bagi pembinaan kuarters guna sama di sekitar KLIA dan Kuala Lumpur.



Bagi mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai, kerajaan akan mengambil langkah untuk memudah dan mempercepatkan pemulihan projek tersebut. Pada masa ini, terdapat 204 projek terbengkalai di seluruh negara yang melibatkan hampir 66 ribu unit bernilai 5.6 bilion ringgit. Pemulihan lebih dari setengah projek ini yang melibatkan 36 ribu unit rumah bernilai RM3.4 bilion sedang diuruskan oleh SPNB. Untuk mengatasi kelewatan yang disebabkan oleh masalah dengan pemiutang, pemaju dan bank, Danaharta akan menguruskan hutang ini dengan institusi-institusi kewangan yang berkenaan dan seterusnya SPNB akan bertanggungjawab menyiapkan projek tersebut. Selain daripada itu, SPNB akan mengambil alih dan mengurus projek perumahan di bawah Tabung Pusingan Perumahan Kos Rendah (TPPKR) yang kini di bawah TPPT Sdn. Bhd.



Amanah Pelaburan Hartanah atau Real Estate Investment Trust dan Amanah Saham Hartanah atau Property Trust Fund ditubuhkan untuk membolehkan pelabur kecil melabur dalam sektor hartanah. Pengurusan dana-dana ini dikendalikan oleh pengurus profesional untuk menghasilkan pulangan yang lebih baik. Untuk menggalakkan perkembangan dana-dana ini, kerajaan bercadang untuk:



i. mengecualikan Cukai Keuntungan Harta Tanah ke atas keuntungan dari pelupusan hartanah oleh individu atau syarikat kepada dana-dana; dan



ii. mengecualikan duti setem ke atas surat cara pindah milik hartanah daripada individu atau syarikat kepada dana-dana.





Persekitaran Bersih Rakyat Sihat



Persekitaran yang bersih sangat penting dalam usaha mencegah wabak penyakit berjangkit seperti SARS yang telah melanda negara baru-baru ini. Kerajaan amat serius dalam menangani wabak penyakit yang boleh membawa maut ini. Satu langkah untuk memastikan kebersihan persekitaran ialah dengan mengadakan sistem pelupusan sampah yang bersesuaian, terutamanya di kawasan bandar. Untuk ini, Kerajaan bercadang mendirikan loji pembakaran sampah yang termoden dan selamat. Loji ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion dan ianya lebih baik dari kebanyakan loji pembakaran sampah di negara maju, di mana loji bakar sampah didirikan di kawasan perumahan atau industri tanpa protes dari penduduk.



Untuk memastikan alam sekitar terus bersih, peruntukan sebanyak RM1.9 bilion disediakan di bawah beberapa kementerian dan agensi. Dari jumlah tersebut sebanyak RM680 juta disediakan bagi program tebatan banjir, terutamanya untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda Bandaraya Kuala Lumpur. Di samping itu, sejumlah RM462 juta disediakan untuk pengurusan sisa pepejal dan RM422 juta untuk projek pembetungan.





Badan Bukan Kerajaan (NGO)



Kerajaan menghargai sumbangan NGO dalam melaksanakan kegiatan kebajikan serta menyanjung tinggi semangat kesukarelawan mereka sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi melaksanakan misi mereka. Kita telah menyaksikan ketabahan dan keberanian Mercy semasa misi damai mereka menyampaikan bantuan kepada mangsa perang di Afghanistan dan Iraq. Di samping itu, terdapat juga beberapa NGO yang telah bersama kerajaan membanteras masalah sosial seperti penagihan dadah, HIV/Aids serta membela mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan tua dan terbiar, orang kurang upaya dan mereka yang ditimpa penyakit kronik.



NGO seharusnya mengeratkan lagi jalinan persefahaman melalui perkongsian bijak dengan kerajaan ke arah membina sebuah masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dan penyayang. Untuk ini, mereka perlu mewujudkan satu piawaian bagi menilai prestasi mereka, terutamanya dari aspek keberkesanan kepimpinan, kegiatan dan juga pengurusan kewangan. Ini akan membolehkan mereka memainkan peranan sebagai badan sukarela secara lebih beretika, efisien dan berakauntabiliti.



Kerajaan akan terus memberi bantuan dan sumbangan kepada NGO untuk menjalankan aktiviti mereka. Sebanyak RM96.4 juta disediakan, termasuk RM6 juta untuk pencegahan Aids, RM20 juta untuk pembangunan wanita dan keluarga, RM20.8 juta bagi program kesihatan dan RM26.6 juta bagi aktiviti membantu golongan kurang upaya.



Menyemarakkan Kegiatan

Seni Dan Budaya



Seni dan budaya menggambarkan identiti sebuah masyarakat. Dalam hubungan ini, hasil seni tempatan harus dipupuk untuk terus mekar dan segar bagi menarik minat pencinta seni. Kekurangan hasil karya seni dan budaya tempatan yang berkualiti telah mengakibatkan pengusaha seni membawa masuk persembahan dari luar negara. Kerajaan telah banyak menyediakan kemudahan seperti Istana Budaya, Dewan Philharmonik di KLCC, Auditorium DBKL dan beberapa dewan teater eksperimental serta pusat latihan Akademi Seni Kebangsaan. Untuk meningkatkan lagi kecemerlangan dan pendidikan seni, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM80.3 juta, khusus untuk kegiatan dan latihan seni serta budaya.



Kerajaan juga telah banyak memberikan insentif cukai untuk menggalakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian, termasuk pengecualian duti hiburan ke atas pementasan teater, cukai pendapatan ke atas penggubah muzik dan sumbangan sektor swasta untuk menaja persembahan kebudayaan dan kesenian. Untuk menggalakkan lebih banyak persembahan diusahakan oleh karyawan tempatan, Kerajaan mencadangkan sumbangan sektor swasta yang kini diberi potongan cukai sehingga RM200 ,000 ditingkatkan kepada RM300,000, khusus untuk persembahan oleh insan seni tempatan.



Untuk menggalakkan banyak pengeluaran filem tempatan yang bermutu, pengusaha dibenarkan mendapatkan pinjaman dan modal teroka daripada MTDC. Dengan ini juga, Kerajaan berharap filem-filem ini akan dapat menggantikan filem import yang ditayangkan di pawagam dan saluran TV tempatan.



Menghargai Kecemerlangan

Perkhidmatan Awam



Sering kali delivery system sektor awam menjadi isu yang dibangkitkan dalam dialog bajet tahunan. Dalam hubungan ini, Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperbaiki sistem penyampaian bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara. Proses memberi kelulusan, pengeluaran permit dan lesen serta pengeluaran CFO akan diperkemas dan dipercepatkan. Kerajaan akan menggunakan ICT dalam usaha ini dengan mewujudkan e-Government. Di bawah Kementerian Kewangan sendiri, perkhidmatan seperti e-perolehan, e-SPKB dan e-stamping telah dilaksanakan. Di samping itu, proses pengeluaran paten dan hak cipta akan disegerakan dengan menambah bilangan kakitangan yang berkemahiran tinggi.



Kerajaan sangat menghargai sokongan dan komitmen anggota perkhidmatan awam di atas usaha dan jasa mereka dalam memastikan semua dasar dan strategi serta program pembangunan dilaksanakan dengan lancar, berkesan dan jayanya. Bagi pasukan keselamatan pula, termasuk Angkatan Tentera dan Polis, Kerajaan amat berbangga dengan sumbangan dan pengorbanan mereka dalam menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam. Sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkhidmat untuk mempertahankan negara, Kerajaan memanjangkan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada bekas anggota Sarawak Rangers dan isteri serta isteri bekas anggota Force 136 dan British Army. Kerajaan juga akan memanjangkan kepada mereka kemudahan kadar caj wad yang dinikmati oleh keluarga bekas anggota simpanan Angkatan Tentera Malaysia.



Kerajaan juga amat prihatin kepada anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menikmati pencen sekiranya mereka meninggal dunia sebelum bersara tanpa pewaris. Untuk memastikan mereka mendapat faedah sebagai kakitangan berpencen sama seperti yang lain, Kerajaan akan memanjangkan faedah pencen terbitan, selain daripada gratuiti kepada ibu atau bapa mereka.



Kerajaan yakin anggota perkhidmatan awam keseluruhannya akan terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dan komited sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab mereka. Sebagai imbuhan kepada peningkatan produktiviti dan menghargai jasa mereka serta mengambil kira kedudukan ekonomi yang bertambah baik, Kerajaan bersetuju untuk membayar bonus setengah bulan lagi, menjadikan bayaran bonus pada tahun ini satu bulan gaji.





Mengamalkan Syiar Islam



Pada zaman ini, ada yang mengaitkan Islam dengan kemunduran dan kemiskinan. Semenjak peristiwa 11 September, Islam dikaitkan pula dengan keganasan. Hakikat yang sebenar, Islam sangat menyanjung tinggi serta memandang mulia umatnya yang rajin berusaha, menguasai kemahiran dan memperoleh kecekapan untuk mencapai kemajuan dan kekayaan dalam batasan syariah. Sesungguhnya, Islam menekankan pembinaan tamadun kehidupan yang hebat atau Islam hadari. Islam juga menganjurkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan, malahan menentang keganasan, kekerasan dan kezaliman. Masyarakat antarabangsa seharusnya mencari punca sebenar keganasan dan bukan hanya menuding jari kepada umat Islam dan melabelkan mereka sebagai pengganas.



Islam sebagai ad-din merangkumi kesemua aspek kehidupan. Sekiranya kita berpegang teguh kepada ajaran asas Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis yang sahih, dan tidak taksub kepada ulama-ulama tertentu dengan tafsiran dan ajaran-ajaran mereka, tidak ada sebab kenapa umat Islam menjadi lemah dan dihina serta ditindas oleh orang lain. Firman Allah dalam surah Ar Ra'd, ayat 11 bermaksud: 'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri.' Mengubah nasib sendiri memerlukan usaha yang gigih, penguasaan ilmu-ilmu dan kecekapan tertentu. Oleh kerana itu, kita di Malaysia tidak saja berdoa kepada Allah Subhanahu wa Taala tetapi kita kejar ilmu dan kecekapan dan kita laksanakan rancangan pembangunan dan pertahanan kita sehingga kita lebih selamat. Sebab itu, ramai pemimpin dan ulama Islam, termasuk Sheikh Al-Azhar mendakwa secara terbuka bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang patut dicontohi oleh negara-negara Islam yang lain.



Pendapat bahawa negara Islam mestilah miskin, tertinggal zaman, mempunyai pentadbiran yang hanya tahu meminta-minta dan lemah seperti yang terdapat di negeri-negeri yang diperintah oleh yang bukan ahli dalam bidang pentadbiran, sesungguhnya menghina Islam. Tidak mungkin negeri-negeri ini dijadikan contoh negara Islam yang mampu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam zaman silam.



Kerajaan akan terus menekankan kepada usaha untuk menerap asas-asas ajaran Islam yang sebenar bagi memastikan rakyat disemai dengan nilai mulia dan tidak terkeliru dengan ajaran salah oleh yang berkepentingan politik duniawi. Untuk tujuan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan lebih banyak program penerangan dan penghayatan ajaran Islam. Sebanyak RM228 juta akan diperuntukkan bagi program tersebut. Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM105 juta bagi melaksanakan pembinaan kompleks latihan, sekolah agama, masjid serta pembangunan sistem maklumat Islam.



Sebagai sebuah negara Islam, Kerajaan amat prihatin ke atas kos menunaikan haji yang kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan merasa terpanggil untuk memastikan kos mengerjakan haji dapat dikawal. Jika tidak, kita bimbang di masa akan datang ramai rakyat Malaysia, di luar bandar dan bandar, akan terkeluar daripada golongan yang mampu untuk menunaikan haji.



Sebahagian besar kos menunaikan haji ialah bagi menampung kos pengangkutan udara dan penginapan di Mekah dan Madinah. Oleh itu, Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) akan membeli dua buah kapal terbang untuk mengurangkan kos sewaan yang tinggi oleh Tabung Haji. Di samping itu, Tabung Haji akan menambah pembinaan dan pembelian tempat tinggal di Mekah dan Madinah supaya kos tempat tinggal dapat dikawal. Sukacita Kerajaan mengumumkan bahawa kos menunaikan haji secara muasasah untuk tahun 2004 dikurangkan sebanyak 5 peratus.



PROSPEK EKONOMI 2004







Persekitaran ekonomi luar dijangka bertambah baik bagi tahun 2004, terutamanya bagi beberapa negara maju. Ini berikutan dari dasar fiskal mengembang, regim kadar faedah yang rendah, kesan kekayaan dari pasaran saham yang lebih cergas, di samping harga petroleum yang lebih rendah. Keyakinan pengguna terus kukuh sementara pelaburan swasta juga telah mula pulih.



Prospek ekonomi bagi negara di rantau ini dijangka lebih mantap berikutan berakhirnya wabak SARS serta peningkatan penggunaan swasta dan perdagangan serantau. China dijangka terus mencatat pertumbuhan tertinggi, manakala Korea, Taiwan dan Hong Kong akan mencatatkan pengukuhan dalam pertumbuhan KDNK.



Prestasi ekonomi negara pada tahun 2004 dijangka terus berkembang kukuh didorong, terutamanya oleh kegiatan ekonomi domestik yang rancak, di samping ekonomi luar negara yang mula menunjukkan pemulihan. Selaras dengan perkembangan ini dan dengan mengambil kira impak positif Pakej Strategi Baru, KDNK negara dijangka berkembang dengan lebih kukuh antara 5.5 hingga 6 peratus bagi tahun 2004, Insya-Allah. Sektor swasta dijangka menerajui pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan swasta berkembang cergas sebanyak 9.9 peratus. Penggunaan swasta juga telah menunjukkan respons positif kepada langkah-langkah rangsangan dan dijangka berkembang lebih pesat pada kadar 7.7 peratus.



Sektor pembuatan kekal menjadi penggerak utama pertumbuhan dan dijangka meningkat 7.2 peratus sementara sektor perkhidmatan berkembang kukuh pada kadar 5.5 peratus. Dengan penumpuan dasar dan strategi yang diberikan kepada sektor pertanian serta harga komoditi yang meningkat, sektor ini dijangka berkembang dengan lebih mantap sebanyak tiga peratus. Sektor perlombongan juga dijangka meningkat sebanyak 3.5 peratus, berikutan pertambahan pengeluaran LNG dan gas asli.



Selaras dengan dasar konsolidasi fiskal, akaun Kerajaan Persekutuan dijangka bertambah baik dengan defisit bajet berkurangan daripada 5.4 peratus kepada 3.3 peratus daripada KDNK. Sekiranya prospek ekonomi dunia bertambah kukuh dalam tahun-tahun terdekat, matlamat bajet berimbang dijangka dapat dicapai dalam tahun 2006. Pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih tinggi juga akan memperkukuhkan akaun sektor awam di mana dijangka mencatatkan lebihan sebanyak 0.4 peratus daripada KDNK pada tahun 2004, berbanding dengan defisit sebanyak 1.5 peratus dalam tahun 2003.



Selaras dengan peningkatan pertumbuhan KDNK, pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada RM14,954 sementara kuasa beli pariti rakyat juga bertambah kepada hampir AS$10 ribu. Paras harga dijangka terus kekal di paras yang rendah, dengan Indeks Harga Pengguna dianggarkan 1.3 peratus.



PENUTUP







Semenjak negara Merdeka, kita telah mencapai kejayaan yang amat cemerlang dan kemajuan yang gilang gemilang. Dalam tempoh hampir setengah abad ini, kita telah dapat menikmati kemakmuran dalam suasana aman damai dan harmoni serta perpaduan rakyat yang teguh. Kita juga telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dalam pentadbiran negara, hasil gandingan padu Barisan Nasional yang berprinsipkan kerjasama adil, keikhlasan dalam perjuangan dan sanggup berkorban demi kepentingan negara. Inilah tradisi perkongsian dalam bidang politik yang telah mengerat dan membentuk perpaduan unik antara semua kaum di bawah satu negara.



Sesungguhnya, kejayaan hari ini tidak dapat kita jamin akan berterusan dan kekal selamanya. Dunia luar terus bergolak dengan pelbagai ujian dan tribulasi, ancaman dan ugutan serta penindasan dan kekerasan. Keamanan yang kita harapkan masih kabur, keganasan yang kita tentang belum reda. Sebagai warga kecil dalam masyarakat global, kita tidak dapat mengelak dari kesan pergolakan ini.



Kita mesti berani berdepan dengan kesemua cabaran ini dan bersedia melakukan sebarang anjakan strategik yang boleh mempertahan serta mengekalkan kemakmuran dan kejayaan negara. Saya telah pun menggesa agar semua pihak melakukan anjakan ini, semasa membentangkan Bajet 2003 tahun lalu. Kita mesti lebih tangkas, cekap dan gigih dalam melaksanakan perubahan ini. Kita tidak boleh leka. Kita juga tidak boleh bertangguh. Walau apa pun halangan, walau apa pun rintangan yang mendatang, kita mesti hadapinya bersama, dengan penuh ketabahan dan keberanian. Kita juga mesti sanggup berkorban, mengenepikan kepentingan diri dan mengelakkan persengketaan antara kita sendiri. Kita juga mesti mempertingkatkan toleransi, mengeratkan kerjasama serta memperkukuhkan perpaduan demi menjamin rakyat sejahtera dan masyarakat berharmoni.



Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Taala agar negara tercinta ini terus dirahmati dan dianugerahkan dengan nikmat dan kemuliaan yang berkekalan. Insya-Allah, saya penuh yakin dengan izin dan berkat keredhaan-Nya, negara bertuah ini akan terus berkembang maju, rakyat makmur dan sejahtera serta terus dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat dunia.



Keranamu Malaysia,

Tegakkan nusa gagahkan bangsa,



Kita susun seribu satu langkah, menuju ke hadapan

Bersama mensesah pekat malam, menerjah gelombang

Berlari mengejar cahaya, menepati janji di hujung jalan

Walau berdepan sejuta rintangan

Sekali pun jatuh di medan perjuangan

Namun tetap meredah, mencapai wawasan

Alangkah damainya negeri ku ini

Dilimpahi rahmat, kemakmuran dikurniai

Bangsa bersatu berjiwa waja

Semangat patriotik kian membara

Dunia sudah membuka mata

Penghormatan kini menjadi nyata

Tiada lagi penindasan

Tiada lagi penghinaan

Kemerdekaan terus terpelihara

Damainya negeri ku. . . . Malaysia.



Tuan Yang DiPertua,

Saya mohon mencadangkan.